Khamis, Oktober 22, 2009

Mujahid harap KPP diterima jadi sayap PAS tahun depan

Lajnah Perpaduan Nasional PAS berharap cadangan untuk menjadikan Kelab Penyokong PAS (KPP) sebagai sayap parti itu, akan menjadi kenyataan tahun depan.

Pengerusinya, Dr Mujahid Yusof (kanan) berharap draf cadangan tersebut dapat diluluskan hujung tahun ini, seterusnya dibincang dan diputuskan dalam muktamar PAS tahun depan.

Katanya, draf cadangan tersebut kini "hampir selesai" untuk menjadikan kelab itu sebagai "sayap yang berperlembagaan".

"Di peringkat ini, (kita sedang) susun data (dan) maklumat (serta) kemaskini," katanya melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini.

Menurutnya lagi, lajnah itu juga kini sedang menyusun dan membentuk barisan kepimpinan KPP melalui kursus-kursus akan yang dijalankan oleh parti itu.

Beliau diminta mengulas tentang perkembangan terbaru cadangan untuk mengangkat status kelab tersebut menjadi sebuah dewan.

Kenyataan tersebut dilihat sejajar dengan gesaan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang Sabtu lalu, yang mahu ahli kelab itu diterima sebagai ahli PAS dan kelab tersebut dijadikan sebagai sayap parti.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, rancangan parti itu untuk menjadikan KPP sebagai sayap parti sebagai usaha untuk memperkuatkan parti, memandangkan sokongan bukan Islam terhadap parti itu semakin meningkat.

Kelmarin, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dilaporkan berkata, jawatankuasa pusat PAS komited untuk menaikkan taraf KPP sebagai sayap parti bertaraf dewan walaupun ada pandangan yang tidak bersetuju dengannya.

Menurut Nasrudin lagi, kepimpinan pusat masih menunggu draf cadangan daripada jawatankuasa teknikal untuk menjadikan KPP menjadi sebuah dewan.

Bagaimanapun, kelewatan PAS untuk menyegerakan hasrat tersebut, turut mendapat reaksi Pengerusi KPP pusat, Hu Pang Chow (kiri) yang menggesa parti itu supaya mengotakan janji mereka untuk menjadi kelab tersebut sebagai sayap parti.

Reaksi yang sama juga ditunjukkan oleh pengerusi KPP bagi kaum India, N Balasubramaniam yang optimis dengan proses penaiktarafan kelab akan disegerakan ekoran kemerosotan sokongan kaum India kepada PAS dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, 11 Oktober lalu.

KPP ditubuhkan sejak tahun 2004 dan diusulkan untuk dinaik taraf menjadi sayap pada muktamar PAS pada 2007.

Terdapat kira-kira 30,000 ahli bukan Islam dalam kelab tersebut.

Tiada ulasan: