Jumaat, November 20, 2009

Mahkamah Tidak Berhak Putuskan Kedudukan DUN Kota Seputeh

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Speaker Dun Perak V. Sivakumar semalam menegaskan bahawa kedudukan kerusi Dun Kota Seputeh sama ada kosong atau sebaliknya mesti diputuskan oleh Speaker Dun sendiri.

"Apa yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri mesti diselesaikan dewan (Undangan Negeri), tidak perlu pada keputusan Mahkamah."

Ujar Sivakumar, tindakan Speaker Dun Kedah Datuk Dr. Abdul Isa Ismail mengumumkan kekosongan Dun tersebut berdasarkan Surat Kekosongan Dun yang diterimanya sebelum ini, adalah muktamad.

"Keputusan Speaker (DUN) Kedah adalah muktamad, tidak perlu dan tidak boleh dibawa ke Mahkamah."

Tambahnya lagi, Speaker Dun hanya diminta memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) badap pelaksana itu boleh mengadakan suatu pilihanraya kecil dalam masa 60 hari.

Beliau juga mencabar BN menunjukkan klausa undang-undang yang membenarkan SPR atau Mahkamah sendiri berhak mendahului keputusan Speaker Dun.

"Nampak jelas dia (SPR) dan BN tak boleh campur tangan, sila tunjuk kepada saya di mana kuasa atau di mana autoriti Mahkamah hingga boleh memutuskan kekosongan (Dun Seputeh) itu."

Dakwanya lagi, BN cuba menghalang pilihanraya kecil Dun tersebut dari berlaku.

"BN yang minta jangan kosongkan kerusi itu (Dun Kota Seputeh)."

Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah akan memutuskan sam ada menerima rayuan BN agar pilihanraya kecil tidak berlaku di Dun Seputeh esok.

Bagi BN, Datuk Abu Hassan Sarif masih layak bergelar Adun Seputeh walaupun sekian lama tidak menghadiri sidang Dun.

Bagi mereka, alasan kesihatan yang diberikan Abu Hassan sudah memadai untuk menghalang keputusan Speaker Kedah tersebut.

Sekiranya Mahkamah menerima rayuan tersebut, ianya menjadi satu lagi titik gelita dalam istitusi kehakiman negara, setelah Mahkamah sebelum ini mencampuri beberapa urusan autonomi dalam Dun Perak.

Rabu, November 11, 2009

Menyebar maklumat bohong ke neraka

Oleh : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Firman Allah SWT, “Dan siapakah lagi yang lebih indah cakapnya termasuklah lisannya daripada orang yang menyeru kepada agama Allah juga beramal dengan amalan yang soleh seraya menegaskan sesungguhnya saya termasuk dikalangan orang-orang menyedari Islam adalah sebenarnya.”

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah bersempena dengan ulangtahun ke 10, penubuhan Jabatan IT PAS Pusat.


Satu bahagian penting diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi moden yang wajib dimanfaatkan oleh PAS khususnya bagi menunaikan tanggungjawab menyampaikan mesej risalah Islam yang diamanahkan kepada kita sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk mengajak manusia disemua peringkat kepada Islam.

Dalam erti kata yang lain, mengislamkan manusia masyarakat dan negara khususnya dalam cara demokrasi barat yang memerlukan Islam mendapat sokongan yang ramai.

Oleh itu, maklumat tentang Islam memang sangat penting untuk menyampaikan hidayah itu ke dalam hati manusia.

Sebenarnya, menyampaikan maklumat sehingga orang itu mendapat hidayah adalah agenda besar daripada pokok amal yang termasuk dalam jihad menghapuskan musuh sehingga meninggal dunia.

Islam memilih pendekatan damai lebih dulu daripada peperangan. Islam melaksanakan peperangan apabila dipaksa selagi ada muwajahah silmiyyah. Kita memilih cara damai.

Oleh sebab itu, semua gerakan Islam yang ditubuhkan atas konsep islah dan tajdid mengambil saluran demokrasi, menyampaikan dakwah, mengajak manusia kepada Islam.

Penyampaian dakwah mestilah dengan maklumat, malah kita disuruh mengambil ruang maklumat untuk dimanfaatkan termasuklah dalam bidang IT.

Ia salah satu percapaian ilmu manusia yang terkini. Namun ia laksana senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri atau digunakan sebagai senjata untuk melakukan kejahatan di muka bumi Allah SWT.

Dalam hal ini, PAS sebagai parti Islam wajib mengarahkan seluruh jenteranya, beramal dengan akhlaq dan adab-adab Islam.

Sekiranya kita melaksanakan tugas dengan akhlaq dan adab-adab Islam, maka sangat besar pahalanya dikurnia oleh Allah SWT. Sekiranya kita memilih dari yang lain, iaitu untuk membawa fasad sesama manusia, maka celaka dan balanya pun besar.

Marilah kita menghayati apa yang disabdakan oleh Allah SWT, “Jihad yang paling afdhal adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim” Jadikan ICT ini senjata untuk jihad menulis dan menerang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.

Sangat besar fadhilatnya sekiranya kita berjaya menarik seseorang kepada perkara yang baik dengan ilmu dan tenaga yang ada pada kita.

Sabda Rasulullah SAW, “Demi sesungguhnya kejayaanmu menyampaikan hidayah kepada seseorang sehingga ia menerima petunjuk kepada Islam lebih baik jika dibandingkan dengan kenderaan yang paling mahal harganya”.

Dan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menunjukkan satu jalan yang baik lalu orang mengikut jalan itu, dia akan mendapat pahala kerana menjalankan tugasnya dan dia mendapat pahala selagi ada orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Dan barangsiapa yang menunjukkan jalan yang buruk,maka dia berdosa kerana melakukan kerja itu dan menerima tanggungjawab dosa yang sama dengan orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar.

Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.

Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran.

Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa.

Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia.

Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.

Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita.

Imam Nawawi menyebut satu hadith dimana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.

Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah.

Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.

Disini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain.

Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas.

Peranan dalam ICT sangat besar. Kita melihat sendiri perubahan politik dalam negara kita.

Kita mencapai kejayaan di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Mencapai kejayaan dalam kalangan mereka yang terpelajar tapi kita gagal mempengaruhi mereka yang jahil dan lalai.

Kejayaan itu kerana kita menganggap mereka yang menggunakan teknologi maklumat dan membawa kepada perubahan pemikiran.

Kita tidak cukup dengan itu sahaja. Kita perlu menambah kadar pengaruh kita dan memikirkan bagaimana maklumat kita dapat disampaikan kepada seluruh rakyat .

Dengan sebab itu, kajian-kajian yang dibuat dalam masyarakat kita, tidak boleh samakan dengan masyarakat di barat. Iaitu masyarakat yang bermaklumat, berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan.

Kita hanya mengambil maklumat sekadar mereka yang mempunyai internet dan handphone. Itu hanyalah segelintir.

Sedangkan satu bahagian yang lebih besar, dikawasan-dikawasan pendalaman, di rumah-rumah setinggan, pekerja petani dan nelayan, merekalah yang menentukan perubahan politik dalam negara.

Muda-mudi pula dihantui dengan hiburan yang melekakan, kerana itu kita perlu selamatkan dan tanggungjawab kita dalam hal ini sangat besar.

Dan terpenting, bukan sahaja kita bekerja dalam bidang teknologi maklumat tetapi kita mesti berusaha untuk menyampaikan maklumat itu ke bawah dengan seluas-luasnya.

Alhamdulillah, PAS sudah mencapai kemajuan dan mendahului parti-parti yang lain termasuk parti BN yg memerintah.

Mereka memang bergantung dengan jentera-jentera kerajaan. Tetapi, kita bergantung dengan jentera dan tenaga kta sendiri yang tidak seberapa.

Tetapi, sering kali Allah menjadikan kemenangan Islam itu dalam keadaan yang tidak seimbang.

Musuh yang lebih kaya, lawan yang lebih canggih alat yang lebih, kebendaan yang lebih banyak dan tenaga yang lebih ramai sehingga empat kali ganda.

Tetapi Allah SWT menyatakan, “Dan bersedialah kamu dengan sekadar kemampuan kamu daripada kekuatan”.

Sering kali kekuatan itu ditafsirkan dengan alat senjata untuk berperang termasuklah kekuatan itu adalah alat untuk menyampaikan maklumat dan menyediakan kekuatan sekadar kemampuan yang ada pada kita.

Mereka yang mempunyai kelebihan mestilah menyumbang dengan ikhlas dan jangan menyembunyikan apa yang ada pada dirinya kerana kemampuan kita diketahui oleh Allah SWT.

Mereka laksanakan tugas dengan ikhlas, semua keikhlasan itu lahir dalam hati sanubari. Kita tidak boleh mengubah hati dan pemikiran manusia melainkan keikhlasan yang ada dalam hati sanubari kita.

Disinilah rahsia kemenangan Islam. Kita melihat sendiri nikmat yang ada dalam PAS. Kita mencapai kejayaan yang besar lebih daripada jangkaan dan kekuatan yang sebenar.

Mengapa? Kerana disana ada pertolongan dari Allah SWT. Walaupun dalam perhitungan pilihanraya ada pasang surut. Ada musim kita menang dan kalah.

Pilihanraya kecil, ada kawasan yang kita menang dan kita kalah. “Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia"

Namun kita perlu menyedari sebenarnya kemajuan kita berterusan.

Tiada berkurangan. Pilihanraya tidak boleh menjadi ukuran dan sukatan. Ukuran kefahaman masyarakat terhadap kita lebih penting.

Sebenarnya kita mendapat kemenangan moral dan besar di Bagan Pinang kerana BN terpaksa meletakkan calon yang tidak bermoral untuk mendapat kemenangan.

Walaupun kita merasakan natijahnya yang zahir namun disana terdapat kemenangan yang tersirat kurnia daripada Allah SWT.

Perubahan boleh berlaku sekiranya maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Maka peranan ICT sangat penting dalam menyampaikan maklumat ini.

Tidak cukup dengan majlis ceramah dan usrah sahaja kerana kita tidak boleh masuk ke dalam semua rumah. Tetapi ICT boleh menyalurkan maklumat dengan pelbagai cara dan lebih luas dan moden.

Disini, pihak ICT perlu membuat muhasabah, kajian dan perhitungan. Kita tidak boleh melihat yang lama sahaja.

Kita mesti mengejar kemajuan yang dicapai dalam bidang ini dan bersama dengan kemajuan itu. Kalau boleh kita mendahului lawan dalam perkara ini.

Alhamdulillah, Jabatan IT PAS Pusat sudah mencapai 10 tahun, satu usia yang sangat bermakna kepada kita.

Sudah tentu keadaannya lebih baik daripada mula ia ditubuhkan. Tidak cukup dengan keadaan yang ada bahkan mesti berusaha untuk mencapai yang lebh baik dan maju lagi.

Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan segala amal diterima olehNYA.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat keberkatan daripada Allah”. Kita rasmikan majlis ini.

Wabillahi Taufiiq Wal Hidayah, Assalamu’alaikum wrt wbt

(Teks ucapan penuh Ucapan Tuan Guru Presiden PAS sempena Majlis Makan Malam 10 tahun Jabatan IT PAS Pusat)

Isnin, November 09, 2009

Resolusi Seminar Memperkasakan PAS

Seminar Politik Memperkasakan Parti menyedari dan memahami bahawa:

1. PAS dan Pakatan telah melepasi ujian setahun setengah mengurus pemerintahan empat buah negeri dalam penggal parlimen ke-12 ini.

Baik-buruk, kejayaan-kegagalan negeri-negeri Pakatan ini telah mula mendapat perhatian umum. Pengiktirafan kejayaan telah pun diktiraf seperti Laporan Ketua Audit Negara 2008.

2. PAS dan Pakatan mutakhir ini terperangkap dalam kemelut-kemelut yang merosakkan imej dan tanggapan umum terhadap kredibiliti dan kesepaduan Muafakat Politik ini. Benar media BN jahat memainkan isu-isu ini, tetapi PAS/Pakatan wajar menginsafi bahawa punca-sumber laporan-laporan tidak wajar kita salahkan pihak lain sebab kita juga bertanggungjawab.

3. PAS dan Pakatan sangat-sangat berhajatkan untuk terus memperbaikki "Persepsi" rakyat dan pengundi bahawa Muafakat Politik Pakatan adalah mantap dan matang, bersedia memikul tugasan menjadi Pemerintahan di peringkat Persekutuan bagi membawa Negara ini ke garis prestasi yang lebih berdayasaing, makmur dan sejahtera. Keutuhan dan kemantapan ukhuwwah dalam saff yang menjadi asset dan anasir kekuatan utama dalam jamaah dan parti telah sedikit terjejas dalam pergolakan mutakhir ini.

Seminar Politik Memperkasa Parti dengan ini merakamkan bahawa:

1. Peri-pentingnya PAS menyerlahkan keupayaan satu kepimpinan parti yang bijak, kompeten dan matang dalam mengurus perbedaan dalam parti dalam semangat musyawwarah memlalui mekanisme parti secara berkesan.

2. Pimpinan tertinggi parti wajar melaksanakan tugasan utama pimpinan sebagai 'ta alluf al-quluub' yakni mempertautkan ahli-ahli dalam saff yang kukuh.

3. PAS wajar mengingatkan kepada kepimpinan negeri yang memerintah kerajaan negeri, ahli-ahli EXCOnya yang menganggotai kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain supaya senantiasa memelihara semangat muafakat politik Pakatan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh dipersepsi sebagai menjejaskan dan memudharatkan keutuhan kerajaan negeri.

4. PAS wajar segera mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci (dengan ketat) segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda "Kerajaan Perpaduan".

Seminar Politik Memperkasakan Parti mengesyorkan pimpinan tertinggi parti untuk:

1. Terus memperkukuhkan Pakatan dan meningkatkan persiapan untuk mengahadapi PRU ke-13 dengan sentiasa proaktif dalam memudahkan Pakatan melaksanakan serta menguruskan urusan kerajaan-kerajaan Pakatan dengan penuh keikhlasaan serta semangat setiakawan yang tinggi.

2. Kepimpinan Kawasan yang memilikki penduduk-pengundi bukan-Islam yang ramai supaya bertindak dengan lebih agresif untuk mengaktifkan Kelab-kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

3. Memantapkan rumusan pendirian-pendirian parti berdasarkan maklumat dan penyelidikan (informasi), kemudian menurunkan dan menyalurkan kesemua ini dalam pengarahan yang jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi keahlian parti di semua kawasan dan cawangan di seluruh negara.

4. Membuat pengarahan yang jelas kepada Dewan Pemuda dan Nisa’ dengan KPIsnya, supaya segmen pengundi muda yang sedikit terjejas terhadap PAS mutakhir ini, dikembalikan keyakinan dan sokongan mereka kepada PAS.
Juga dipertegaskan pentingnya untuk memugarkan kegiatan Unit ‘Amal dengan mempraktikkan modul yang telah sedia ada.

5. Membuat satu "Pelan Tindakan" bagi menghadapi PRU ke-13, bagi memperkukuhkan sokongan yang sedia ada di kalangan orang Islam-Melayu dan memuatkan satu ‘Roadshow Nasional’ bagi menerangkan tema “Pas For All” atau PAS untuk Semua” bagi melebarkan tapak sokongan merentasi semua agama, kaum dan budaya.

Resolusi Seminar Politik Memperkasakan Parti
7 November 2009, 19 Zulkaedah 1430H.



Khamis, November 05, 2009

Jangan terperangkap! serang 'sahabat satu jemaah' lebih hebat dari serang musuh


KUALA LUMPUR, 5 Nov: Seluruh petugas PAS diingatkan jangan terperangkap dengan 'agenda musuh' sehingga mencetuskan polimik sesama sendiri dan lupa fokus paling utama untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sama ada sedar mahupun tidak, PAS katanya sedikit demi sedikit telah masuk ke perangkap musuh apabila menyerang 'sahabat dalam satu jemaah' lebih hebat dari menyerang musuh sebenar.

Selain merugikan jemaah, membuang masa, tenaga dan wang ringgit, tindakan itu juga seperti menghulurkan peluru kepada musuh untuk menyerang PAS itu sendiri.

"Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang 'musuh' kita sebenar.

Image "Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita," tulis dalam blognya http://tuanibrahim.blogspot.com.

Beliau yang juga pengerusi Lembaga Disiplin PAS berkata, Petugas PAS perlu sedar bahawa Umno sudah menukar strategi mereka setelah melihat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat sejak PRU ke-12 dan tujuh pilihanraya kecil berikutnya.

Umno kini katanya menggunakan strategi menimbulkan pergolakan dalaman parti parti dalam PR sehingga timbul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza yang mampu menggawatkan parti masing masing.

Strategi itu katanya dilihat berjaya apabila disokong sepenuhnya media arus perdana dan media baru yang mengalihkan perhatian masyarakat dengan menumpukan kepada krisis dalaman PR.

"Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya.

"Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan," tulisnya lagi.

Namun katanya, keadaan masih belum terlewat untuk petugas PAS kembali kepada fokus sebenar iaitu merancang straregi menang PRU ke-13.

"Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita.

"Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah," tegasnya.

Keadaan yang berlaku pada PAS kini turut dianalogikan dengan kisah 'enam pelabur' bercadang menternak kambing.

Biarpun projek mereka belum berjalan namun masing-masing sudah bergaduh memikirkan pembahagian keuntungan.

Sehingga salah seorang dari mereka dilaporkan berkata:

"Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi". ceritanya dipetik.

"Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja," katanya. _

Rabu, November 04, 2009

Mutiara Hadith...

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Apabila anak Adam (yakni manusia) meninggal dunia, maka putuslah amalannya, melainkan dari tiga macam perkara, yaitu sedekah jariah atau ilmu yang dapat diambil kemanfaatannya atau anak yang soleh yang suka mendoakan untuknya."

(Riwayat Muslim)

TAULIAH - APAKAH KERANA DIA DR ASRI ATAU KERANA UNTUK MENGAIBKAN PAKATAN RAKYAT, ATAU ADA AGENDA LAIN…..

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden PAS)


Isu pendakwaan terhadap Dr Asri bukanlah perkara aneh atau pelik. Bahkan PAS konsisten membantah tindakan tersebut. Cuma yang anehnya ialah kenapa UMNO bersungguh-sungguh membantah dakwaan terhadap Dr Asri, sedangkan sepatutnya kita kena konsisten terhadap kes, bukan siapa yang terlibat.

Isu larangan ceramah tanpa permit bukan perkara baru. Bahkan sebelum ini pun bekas Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom pernah dihalang menyampaikan ceramah di Selangor. Lagi pelik, beliau bekas Mufti Selangor, tak dibenarkan ceramah di Selangor. Begitu juga Dato' Dr Harun Din juga pernah dihalang, sedangkan ribuan pelajarnya di UKM menerima ilmu darinya, bahkan yang nak halang dia pun bekas anak muridnya. Begitu juga Dato' Ismail Kamus, Mufti Perak Dato' Harussani juga dihalang menyampaikan kuliah di beberapa negeri.

Apakah istimewa Dr Asri berbanding tokoh lain? Bagi saya isunya bukan Dr Asri, sebenarnya isu yang besar adalah bagaimana untuk memburuk-burukkan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat. Kerana itulah media membesar-besarkan isu ini.

Saya sangat tidak bersetuju bila mana tokoh agama dilarang menyampaikan kuliah dan ceramah atas alasan tiada tauliah. Kita telah kenal ilmunya dan kemahiran yang ada, tetapi itulah hakikat yang sedang berjalan. Sebenarnya tindakan JAIS itu betul dengan peraturan, yang sepatutnya kalau dilihat dari sudut penceramah yang menyampaikan ceramah tanpa tauliah, memang melanggari peraturan dan JAIS mengambil tindakan tepat pada kesalahan tersebut. Yang pelik bukan tindakan JAIS, tetapi tindakan pemimpin UMNO membela mereka yang bersalah mengikut undang-undang Jababan Agama Islam Selangor. Jawapannya bukan kerana Dr Asri, tetapi kerana ia berlaku di negeri Selangor. Sebagai perbandingan kalau ia berlaku kepada Dr Harun Din, dan tangkapan dibuat pula di negeri Johor, saya yakin kenyataan dari pemimpin UMNO akan berubah bentuk. Inilah hakikat yang cuba disembunyikan.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa jabatan-jabatan agama setiap negeri harus bezakan antara tokoh agama yang mempunyai ijazah dalam bidang agama, dan diiktiraf oleh masyarakat. Takkanlah mereka ini pun perlukan tauliah juga. Kena tengoklah siapa mereka, bukan tengok di negeri mana mereka berceramah sahaja. Kerana itu, pimpinan PAS kita konsisten menentang keperluan tauliah bagi golongan yang memang diketahui keilmuannya, diiktiraf oleh masyarakat dan mempunyai kepakaran dalam bidang agama untuk menyampaikan ilmu agamanya di mana sahaja.

Isnin, November 02, 2009

MAKLUMAN

Majlis Korban Perdana MTD Semenyih

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai "Majlis Korban Perdana MTD Semenyih" boleh menghubungi Sdr. Samsol Bahari ditalian 013-6317167 dengan bayaran RM360 untuk satu bahagian.

Harap dapat disebarkan kepada yang ingin menyertai.

Kami dahului dengan ucapan terimakasih.

Wassalam

PAS Semenyih