Jumaat, Oktober 30, 2009

Patuhi Keputusan Mesyuarat....Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man


Jawatankuasa Disiplin Parti memandang serius beberapa artikel dalam media perdana serta laman-laman blog tertentu. Semua laporan ini sedang dipantau bagi meneliti sejauh mana segala pertuduhan yang dilemparkan sehingga mencetuskan kegawatan, sebelum mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat pada malam ini.

Jawatankuasa Disiplin parti menyambut baik saranan Dewan Pemuda agar Jawatankuasa ini dipertingkatkan. Namun perlu diingat bahawa jawatankuasa Disiplin Parti hanya boleh bertindak sekiranya ada laporan rasmi kepada parti. Segala kenyataan umum melalui akhbar atau blog tidak boleh dianggap sebagai laporan rasmi. Semua pertuduhan yang dibuat mestilah disokong dengan pembuktiaan. Bukan hanya dengar cakap atau hanya melalui beberapa blog tertentu sahaja.

Sehingga kini, Jawatankuasa Disiplin telah menerima empat laporan rasmi, dan telah mengambil tindakan kepada tiga laporan, manakana satu lagi yang sedang diteliti oleh jawatankuasa. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menegakkan keutuhan parti serta hak ahli parti, maka semua pertuduhan dan pendakwaan mestilah mampu menegakkan keadilan bagi yang kena tuduh, manakala yang membuat tuduhan mestilah bersedia dengan bukti yang jelas.

Sehubungan itu, segala permasalahan parti mestilah menggunakan saluran parti yang sedia ada. Kita mempunyai pelbagai mekanisma bagi menangani isu yang berlaku dalaman parti. Gunakan saluran parti, jangan bertindak sendirian dengan membelakangi saluran parti kerana tindakan sedemikian tidak menguntungkan parti.

Perlu diingat bahawa Jawatankuasa Disiplin memandang serius beberapa tindakan bagi membincangkan semula sesuatu yang telah diputuskan dan dianggap telah selesai. Lantaran itu, sekiranya ada dikalangan ahli biasa atau pimpinan yang cuba mengheret parti kepada permasalahan yang telah kita putuskan, maka mereka mesti bersedia untuk diambil tindakan. Awasilah media perdana yang berusaha melaga-laga pimpinan, dengan memberi gambaran buruk kepada satu pihak dan selah-olah memberi gambaran baik pada pihak lain. Kerana mereka sedang berusaha memecahbelahkan kita dan merosakkan hubungan baik serta setiakawan kita dalam Pakatan.


Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti.

Khamis, Oktober 29, 2009

Kenyataan Media PAS Selangor

PAS Selangor ingin merujuk kepada keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009 di Pejabat Agung PAS.

Pendirian PAS Selangor adalah seperti berikut:

PAS Selangor mengalu-alukan kesediaan PAS pusat untuk menangani kemelut yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009.

PAS Selangor juga menyambut baik keputusan untuk menolak EGM (mesyuarat agung khas) dan seterusnya menyelesaikan masalah dalaman melalui siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri Selangor bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti. Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di negeri Selangor.

Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog.

Bagi meninggikan prinsip-prinsip al-'adalah yang ditetapkan oleh Islam, PAS Selangor ingin menekankan jawatankuasa disiplin parti hendaklah juga menyiasat orang yang membuat tuduhan dan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka sekiranya tuduhan tersebut tidak benar kerana mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam parti dan seterusnya merosakkan imej parti.

Merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAS Selangor di semua peringkat telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan PAS negeri sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat khas badan perhubungan PAS negeri Selangor yang bertarikh 27 September 2009.

PAS Selangor menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar menghormati jawatankuasa disiplin parti di dalam menjalankan tugasnya dengan tidak membicarakan isu ini sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai.

PAS Selangor seterusnya menyeru kepada ahli-ahli PAS di Selangor agar bertenang dan membiarkan proses siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti selesai sepenuhnya. Semua ahli-ahli PAS di Selangor mestilah menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YB Tuan Guru Presiden.

Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

KULIAH HARAKI.

Tarikh: 18 Safar 1431/3 Februari 2010

Hari: Rabu

Waktu: 9.15 malam

Tempat: Pejabat Pentadbiran & Tarbiyah PAS DUN Semenyih
Bandar Rinching, Seksyen 5

Penceramah: Ustaz Idris Ahmad
(Ketua Penerangan PAS Pusat)

Semua dijemput hadir dan minta disebarkan.

Gotong-royong Masak Rendang

Gambar disekitar program gotong-royong masak rendang sempena majlis rumah terbuka PAS Kawasan Hulu Langat yang lalu, tempat diadakan dikawasan rumah Pengarah MTD Semenyih.









PAS adakan seminar ganti muktamar khas

Zulkifli Sulong
Thu | Oct 29, 09 | 1:36:34 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Image










Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.

Isnin, Oktober 26, 2009

Saranan Muktamar Khas Mursyidul Am:Semua Pihak Diminta Bertenang

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad meminta supaya ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung dengan saranan mengadakan Muktamar Khas oleh Mursyidul Am, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.(Klip Video Didalam)
http://www.buletinonline.net/images/stories/Berita12/idrisahmad.jpgBeliau berkata, perkara tersebut InsyaAllah akan diselesaikan dengan seberapa segera, melalui pendekatan lazim yang diambil oleh PAS secara musyawarah, muzakarah atau pertemuan dari hati ke hati.

”Saya mengharapkan supaya semua ahli-ahli diperingkat bawah dan pimpinan diminta bertenang, InsyaAllah perkara ini kita akan dapat diselesaikan tidak berapa lama lagi melalui konsep secara lazim yang kita lakukan,

”berdasarkan kepada pertemuan, muzakarah dan berbincang dari hati ke hati, dan InsyaAllah perkara ini akan diselsaikan dengan baik,”katanya yang ditemui ketika menghadiri satu program penerangan, di Chukai, dekat sini, semalam, 24 Oktober.

Beliau turut menyeru supaya sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak kepada media diharap tidak akan mengeruhkan lagi suasana dan keadaan.

Katanya, beliau yakin dengan kekuatan dan kebijaksanaan serta konsep ‘berlapang dada’ yang ada pada pimpinan PAS akan dapat menguruskan sebarang krisis sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

”Kita penuh yakin kerana kekuatan yang ada pada pimpinan PAS didalam mengatasi pelbagai krisis (sebelum ini) kita berjaya, yang mana ketika menghadapi (isu) ‘Unity Government’ (sedikit masa) dulu,

”kita (dapat) lihat bagaimana suasana yang agak (meruncing seolah-olah) politik dalam PAS ini telah ‘bergoncang’,

”tapi AlhamduliLlah dengan kebijaksanaan, dengan konsep berlapang dada, dan juga konsep musyawarah yang dilakukan kepimpinan kita (PAS), AlhamduliLlah pekara itu dapat diselesaikan dengan baik,”jelasnya.

Menurutnya, tindakan segera yang akan diambil PAS adalah mengaturkan satu pertemuan diantara Mursyidul Am dengan kepimpinan tertinggi bagi mendengar sendiri apakah sebenarnya hasrat hati beliau.

”InsyaAllah kita akan bertemu dengan Tok Guru (Nik Aziz) sendiri, untuk (mendengar) dan berbincang apakah maksud hasrat dihatinya dan pandangan-pandangan yang kita perlukan (daripada) beliau,”ujarnya.

Katanya, beliau yakin dengan kaedah pertemuan tersebut dan percaya, semua pihak akan dapat menerimanya dengan baik.

Jumaat, Oktober 23, 2009

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?

22 Oct 2009
Kategori: Isu Semasa

Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Klik disini...

Khamis, Oktober 22, 2009

Mujahid harap KPP diterima jadi sayap PAS tahun depan

Lajnah Perpaduan Nasional PAS berharap cadangan untuk menjadikan Kelab Penyokong PAS (KPP) sebagai sayap parti itu, akan menjadi kenyataan tahun depan.

Pengerusinya, Dr Mujahid Yusof (kanan) berharap draf cadangan tersebut dapat diluluskan hujung tahun ini, seterusnya dibincang dan diputuskan dalam muktamar PAS tahun depan.

Katanya, draf cadangan tersebut kini "hampir selesai" untuk menjadikan kelab itu sebagai "sayap yang berperlembagaan".

"Di peringkat ini, (kita sedang) susun data (dan) maklumat (serta) kemaskini," katanya melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini.

Menurutnya lagi, lajnah itu juga kini sedang menyusun dan membentuk barisan kepimpinan KPP melalui kursus-kursus akan yang dijalankan oleh parti itu.

Beliau diminta mengulas tentang perkembangan terbaru cadangan untuk mengangkat status kelab tersebut menjadi sebuah dewan.

Kenyataan tersebut dilihat sejajar dengan gesaan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang Sabtu lalu, yang mahu ahli kelab itu diterima sebagai ahli PAS dan kelab tersebut dijadikan sebagai sayap parti.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, rancangan parti itu untuk menjadikan KPP sebagai sayap parti sebagai usaha untuk memperkuatkan parti, memandangkan sokongan bukan Islam terhadap parti itu semakin meningkat.

Kelmarin, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dilaporkan berkata, jawatankuasa pusat PAS komited untuk menaikkan taraf KPP sebagai sayap parti bertaraf dewan walaupun ada pandangan yang tidak bersetuju dengannya.

Menurut Nasrudin lagi, kepimpinan pusat masih menunggu draf cadangan daripada jawatankuasa teknikal untuk menjadikan KPP menjadi sebuah dewan.

Bagaimanapun, kelewatan PAS untuk menyegerakan hasrat tersebut, turut mendapat reaksi Pengerusi KPP pusat, Hu Pang Chow (kiri) yang menggesa parti itu supaya mengotakan janji mereka untuk menjadi kelab tersebut sebagai sayap parti.

Reaksi yang sama juga ditunjukkan oleh pengerusi KPP bagi kaum India, N Balasubramaniam yang optimis dengan proses penaiktarafan kelab akan disegerakan ekoran kemerosotan sokongan kaum India kepada PAS dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, 11 Oktober lalu.

KPP ditubuhkan sejak tahun 2004 dan diusulkan untuk dinaik taraf menjadi sayap pada muktamar PAS pada 2007.

Terdapat kira-kira 30,000 ahli bukan Islam dalam kelab tersebut.

Terima kasih Prof Aziz Bari atas kritikan anda

Mohamed Hanipa Maidin
Thu | Oct 22, 09 | 10:04:29 am MYT

PENDAPAT

Saya boleh memahami betapa marahnya Ustaz Idris Ahmad terhadap tulisan Dr Aziz Bari di dalam Sinar Harian bertarikh 19/10/2009 ('Pengajaran dari Bagan Pinang').

Saya percaya Ustaz Idris tidak bermaksud memperkecilkan kehebatan Prof Aziz Bari yang kita tahu seorang Profesor yang bukan sahaja mendalam ilmunya tetapi amat berani dan lantang menyatakan kebenaran.

Kekerasan sahabat saya Ustaz Idris Ahamd menyanggah tulisan Dr Aziz Bari bagi saya mungkin terbit dari keletihan beliau berkempen secara intensif di Bagan Pinang.

Sudahlah penat berkempen dan berhadapan pula dengan samseng-samseng Umno dan seterusnya mengalami kekalahan yang besar tiba-tiba Dr Aziz Bari pula mengkritik PAS.

Tidak dinafikan saya rasa bukan sahaja Ustaz Idris malahan mungkin ramai juga pemimpin PAS yang lain yang turut berkongsi sentimen seperti Ustaz Idris.

Saya juga pemimpin PAS Pusat. Namun saya tidak sama sekali marah jauh sekali melenting dengan teguran dan kritikan Prof Aziz Bari. Malahan sebagai pemimpin PAS saya benar-benar berterima kasih dengan teguran dan kritikan beliau.

Image Saya yakin tulisan beliau tidak mempunyai unsur mala fide (niat jahat). Tulisan tersebut, bagi saya, lahir dari hati suci beliau untuk melihat supaya PAS membuat koreksi diri agar tidak kecundang dalam pilihan raya yang akan datang.

Tulisan itu saya yakin lahir dari satu pengamatan beliau yang amat panjang tentang beberapa insiden yang berlaku dalam PAS yang diketahui umum.

Pemimpin gerakan Islam Al-Nahdah, Tunisia yang kini hidup dalam buangan di London, Rashid Ghanouchi pernah menyatakan di dalam satu tulisannya bahawa kesilapan paling besar gerakan Islam ialah adalah ketidaksediaan atau keberatan untuk bermuhasabah dan dimuhasabah.

Orang bijaksana berkata kawan yang sebenar adalah kawan yang sudi menegur kita jika dia melihat kita melakukan kesilapan. Kawan yang buruk pula adalah kawan yang hanya mendiamkan diri malahan menyokong pula meskipun dia tahu kita melakukan kesilapan.

Saya tidak kata tulisan Dr Aziz Bari adalah sempurna dan saya juga yakin beliau juga tidak berpendapat teguran dan kritikan beliau adalah sempurna. Tidak dinafikan kenyataan beliau bahawa "Hasan (Hasan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokonng mereka" agak menyenakkan sesetengah pemimpin PAS.

Namun jika kita melihat dari perspektif lain, salahkah jika Dr Aziz Bari sebagai pihak di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu.

Politik, orang kata adalah berkaitan persepsi. Saya percaya bukan sahaja Dr Aziz Bari malahan ramai lagi rakyat Malaysia yang lain yang juga mempunyai persepsi seperti Dr Aziz Bari iaitu persepsi bahawa sesetengah pemimpin PAS adalah pro Umno.

Kerana kesan bahaya persepsi sebegitulah yang menyebabkan Muktamar PAS berhempas pulas membuat ketetapan dan penegasan bahawa PAS tidak akan ada hubungan dengan Umno dan akan terus bersama Pakatan Rakyat. Kalau kita tidak mahu dilihat dan dikritik pro Umno janganlah buat perkara-perkara yang menyebabkan orang ramai membuat tanggapan bahawa kita adalah pro Umno.

Adakah persepsi lahir begitu sahaja? Salah ke jika orang-orang di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu setelah mereka melihat apa yang berlaku di dalam PAS melalui tindak tanduk, kenyataan dan gelagat sesetengah pemimpin PAS.

Bagi saya sudah sampai masanya pemimpin PAS, mengambil istilah kata Khairy Jamaluddin, keluar dari 'siege mentality' (mentaliti terkongkong). Sila lihat di luar sana, orang ramai sedang memerhatikan kita !!!

Salahkah kita menjadi pendengar yang baik (good listener) demi kebaikan parti yang kita sayangi ini.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Aziz Bari. Prof, percayalah bagi saya kamu adalah sahabat yang sejati.

--------------------

(Penulis adalah AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS)_

Jumaat, Oktober 16, 2009

Khas Buat Pendokong Perjuangan Islam - Muhasabah PRK Bagan Pinang

Pandangan dari seorang Pensyarah...


Cadangan buat PAS yang kalah teruk dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.

1. Akuilah bahawa PAS sememangnya telah kalah dan jangan terlalu kerap menyalahkan musuh. Sebaliknya akuilah kelemahan sendiri.

2. Kemenangan tidak selalunya berpihak kepada yang benar.Kerana ada kalanya kekalahan itu memang wajar sebagai satu bentuk tarbiah.

3. Janganlah selalu bersifat angkuh kerana ahli-ahli PAS sudah mula bersifat angkuh dan terkena penyakit ahli politik yang sombong dalam mengejar pangkat dunia dan kedudukan.

4. Kekalahan di Bagan Pinang mungkin akibat dari ahli-ahli PAS yang meninggalkan solat ketika berkempen dan berkelakuan tidak beradab ketika berdepan penyokong lawan.

5. Zikir, taubat, solat malam mungkin diabaikan dan terlalu kurang di amalkan.

6. Waspadalah dengan budaya berpolitik yang mengejar jawatan (dalam pilihanraya) kerana ia lebih banyak menanamkan sifat takabbur dan melenyapkan rasa tawadhuk serta rendah diri. Inilah penyakit yang sudah mula merebak di kalangan wakil rakyat PAS.

7. Kekalahan mungkin juga disebabkan wujudnya bibit perpecahan di kalangan pemimpin PAS yang sering bertelagah pendapat (meskipun kononnya digambarkan sebagai sikap keterbukaan tetapi ia amat jelas bahawa tiadanya kesatuan hati).

8. Ingatlah musuh bukan menang dengan sebab kekuatannya tetapi ia menang dengan sebab maksiat dan kelemahan sendiri.

Moga PAS menerima kritikan saya ini dengan terbuka jika sekiranya mahu terus mara. Peliharalah Islam dalam diri maka akan tertegaklah Islam dalam negara. Perjalanan memartabatkan Islam bukan semudah yang disangka, ia adalah perjalanan yang sangat jauh........

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Nisa ayat 19 :

" Maka boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)".

Ustaz Zuridan Daud (Pensyarah UMP)

Selasa, Oktober 13, 2009

Empat perkara untuk pulihkan pilihanraya - NIEI

Harakahdaily
Mon | Oct 12, 09 | 7:59:53 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Okt: Institut Intergriti Pengundi Kebangsaan (NIEI) mencadangkan empat perkara bagi memulihkan pilihan raya di negara ini kerana apa yang ada sekarang mencemarkan pilihanraya.

Ini kerana, pilihan raya yang berlaku di Bagan Pinang telah tercemar. Ia sepatutnya telus, bebas dan adil.

Apa yang berlaku adalah, 1) ketidak telusan pengundian pos; 2) rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji, 3) Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi; dan 4) Perbelanjaan berkempen.

Demikian kenyataan yang dibuat NIEI dalam satu kenyataan medianya berdasarkan pemerhatian mereka dalam pilihan raya kecil itu baru-baru ini.

Berikut adalah kenyataan penuh NIEI:

National Institute for Electoral Integrity (NIEI) telah memantau perjalanan pilihanraya kecil (PRK) bagi kerusi DUN Bagan Pinang (N 31) bermula dari hari penamaan calon pada 3 Oktober sehinggalah berakhirnya proses pengundian pada 11 Oktober 2009.

Didalam pemantauan pilihanraya, terdapat dua kaedah yakni stationary monitoring (pemantau ditugaskan untuk tunggu disetiap tempat mengundi) dan mobile monitoring (pemantau bergerak).

ImageNIEI menggunakan kaedah mobile monitoring dimana pemantau-pemantau NIEI bergerak untuk memantau perjalanan pilihanraya di dalam kawasan N 31 bermula dari proses penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.

Di dalam pemantauan NIEI di kerusi N 31, terdapat beberapa perkara yang telah mencemarkan PRK yang seharusnya telus, bebas dan adil.

Diantaranya ialah:

1) Ketidak telusan pengundian pos

Terdapat dakwaan bahawa senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan kepada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009. Selain daripada itu, terdapat juga dakwaan bahawa terdapat pengundi-pengundi pos yang didaftarkan lebih dari satu kem serta persara-persara tentera masih lagi terdapat dalam daftar pengundi pos.

Yang lebih menyedihkan lagi, SPR langsung tidak mengendahkan syak wasangka ini dan tidak membersihkan nama mereka dan maruah sebagai badan penggendali pilihanraya tidak dipertahankan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan proses pengundian pos tidak lagi dipertikaikan pada masa akan datang, NIEI mencadangkan agar kaedah dan prosedur pengundian pos hendaklah dikaji semula dan diubah supaya ianya telus dan diyakini oleh rakyat. Image

Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, pengundian secara normal digunakan bagi anggota tentera mereka. Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antrabangsa dibuka di dalam kem-kem tentera.

Jika terdapat undi pos tentera, ianya akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPR negara tersebut. Tidak timbul langsung kontraversi senarai nama pengundi anggota tentera di sana.

2) Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji

Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji masih lagi berleluasa dalam PRK N 31 Bagan Pinang. Pemberiaan projek-projek kerajaan kepada penduduk Bagan Pinang semasa tempoh berkempen dilakukan secara berleluasa. Banyak kementerian-kementerian seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digunakan untuk memberikan rasuah politik kepada pengundi Bagan Pinang secara terbuka.

Selain daripada itu, penyalahgunaan jentera kerajaan turut dilakukan secara berleluasa. Kedua-dua pihak yang bertanding dilihat menyalahgunakan harta rakyat terutama kenderaan milik kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan. Manakala UMNO-BN memonopoli dewan orang ramai, sekolah, KEMAS dan JKKK sebagai markas parti.

Amalan ini adalah satu kesalahan besar kerana seharusnya harta milik kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh digunakan bagi parti-parti politik yang bertanding semasa berkempen dalam pilihanraya.

Untuk memastikan pilihanraya akan datang adil kepada semua pihak yang bertanding, NIEI mencadangkan agar politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, salahguna jentera negara dan salahguna kemudahan awam hendaklah dihapuskan.

Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan. Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPRnya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.

Untuk menghapuskan amalan ini, undang-undang anti rasuah politik dan penyalahgunaan harta awam hendaklah digubal seperti yang dilaksanakan di Thailand dan Taiwan.

3) Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi

Amalan merayu undi dan tukang sorak telah menyebabkan ketegangan berlaku pada hari mengundi. Apabila perayu-perayu undi dari kedua-dua parti politik bersaing untuk merayu undi berhampiran dengan tempat pembuangan undi, ianya menggangu pengundi-pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

ImageSelain daripada itu kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik untuk mengangkut pengundi turut menyesakkan keadaan dihadapan tempat pembuangan undi yang biasanya dilaksanakan di sekolah.

Bagi memastikan pengundi-pengundi dapat berfikir dengan tenang sebelum masuk ke tempat pembuangan undi, NIEI menyarankan agar amalan merayu undi, tukang sorak dan penyediaan kemudahan pengangkutan untuk mengangkut pengundi dihapuskan.

Sebagai ganti, tempoh berkempen bolehlah diperpanjang seperti dua minggu bagi pilihanraya kecil dan sebulan bagi pilihanraya umum. Parti-parti politik bukan kerajaan yang sering tidak mendapat tempat di media arus perdana aktif berkempen pada hari mengundi oleh kerana tidak mendapat liputan yang adil oleh media arus perdana dan tempoh berkempen yang singkat, jika tempoh berkempen diperpanjangkan, semua pihak akan mendapat masa yang cukup untuk berkempen.

Selain daripada itu, SPR bolehlah menyediakan kenderaan untuk mengangkut pengundi seperti van, kereta dan motosikal sebagai alternatif kepada kenderaan-kenderaan yang disediakan oleh parti politik.

4) Perbelanjaan berkempen

ImageDalam PRK Bagan Pinang, dapat disimpulkan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk berkempen bagi calon BN, Tan Sri Isa Samad telahpun melebihi had yang ditetapkan iaitu RM 100,000 bagi calon DUN. Menurut Seksyen 19(1) (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum hendaklah berbelanja tidak melebihi had yang ditetapkan iaitu untuk calon Parlimen RM200,000 dan calon DUN RM100,000.

Akta ini harus digubal semula dan harus menyatakan bahawa ianya termasuklah kepada parti politik yang menyokong sesuatu calon tersebut. Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) bolehlah dilakukan untuk memperketatkan lagi pemantauan perbelanjaan kempen.

NIEI berharap agar isu-isu yang dibangkitan akan diambil perhatian serius oleh SPR agar perjalanan pilihanraya di Malaysia dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Semua parti politik yang bertanding diseru agar bekerjasama bagi memastikan proses perjalanan pilihanraya di Malaysia menjadi lebih adil, telus dan saksama. Pilihanraya yang berkredibiliti akan meyakinkan lagi rakyat dengan amalan demokrasi di Malaysia._


Ahad, Oktober 11, 2009

`Kemenangan Kaki Rasuah' Gagalkan Misi Intergriti Nasional

Sunday, 11 October 2009 21:02 Editor

TELUK KEMANG - Kemenangan Tan Sri Isa Samad dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang adalah merupakan suatu kegagalan kepada misi integriti nasional.

Walaupun begitu, PAS menghormati keputusan rakyat atas prinsip demokratik, namun malu dengan sikap Umno yang tidak akan membawa rakyat kepada kehidupan yang lebih baik kerana gagal memerangi rasuah.

"Umno memang menang dalam pilihanraya, tapi ternyata kalah dalam memerangi rasuah,"kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media yang diadakan selepas Pas di isytiharkan tewas dalam pilihanraya kecil DUN bagan Pinang.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dengan kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang sebelum ini telahpun ditolak oleh Umno; mengakibatkan Umno akan terus angkuh mengamalkan rasuah.

Ujarnya lagi, kemenagan Isa ini sebenarnya tidak sedikit pun memulihkan kepercayaan palabur terhadap integriti kerajaan.

Sebaliknya, ia bakal menjadi satu lagi titik gelita dalam sejarah integriti negara.

Mengulas perkembangan yang sama, Pengarah pilihanraya PAS bagi Bagan Pinang, Salehuddin Ayub, konsisten dengan kenyataannya bahawa PRK N31 Bagan Pinang akan menjadi pemangkin gelombang ketiga Rasuah Musuh No.1 Negara.

"Ia akan mempercepat gelombang itu,"kata Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS serta ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tegasnya lagi, N31 juga bakal dijadikan dijadikan medan permulaan Pakatan memperjuangkan senarai undi pos bersih.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamul Iskandar M Akin dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkifli

Klik disini

Sabtu, Oktober 10, 2009

Selingan PRK Bagan Pinang

Khamis, Oktober 08, 2009

Arahan dari Ketua DPPP melalui SMS

Urgent : Keadaan semakin kritikal. Ramai ahli kita di pukul dan terbaru mlm tadi markaz pemuda PAS pusat di Bagan Pinang telah diceroboh dan petugas di halau keluar. Demi Allah dgn nama jihad fisabilillah ana selaku pemegang amanah sbg Ketua DPPP mengerahkan seramai mungkin pemuda dari seluruh negara agar turun ke Bagan Pinang. Raptai jam 9.00 pm d Markaz Induk dan ia akan di pimpin oleh US Azman (TKP) utk arahan kawalan keselamatan. 

Tq.

UST. NasharudinTantawi
KDPPP

Markas Pemuda PAS diceroboh, petugas ditetak

Nazri Abdullah
Thu | Oct 08, 09 | 9:56:04 am MYT BAGAN PINANG, 8 Okt: Lebih enam orang petugas Dewan Pemuda PAS (DPP) dipukul dan ada yang ditetak dangan parang oleh sekumpulan lelaki ketika sedang bertugas di beberapa tempat termasuk di markas induk DPP di Bagan Pinang.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, sekumpulan 20 lelaki bermotosikal dipercayai penyokong BN telah menyerbu dan menceroboh markas induk DPP dan menumbuk petugas yang berada di situ.

Selain ditumbuk, pemuda PAS terbabit juga dihalau keluar meninggalkan markas itu.Turut difahamkan ramai lagi petugas PAS di pukul malah ada juga yang dikejar dengan parang hingga ke rumah.

Seorang Exco DPP, Suhaizan Kayat yang maklum berkenaan kejadian tersebut berkata, penyokong Umno BN terbabit tidak berpuas hati kerana mandakwa pemuda PAS telah menjatuhkan bendera dan kain rentang parti mereka.

"Mereka tuduh kita jatuhkan berndera dan poster Umno BN. Mereka semua datang ke markas induk, terus tumbuk petugas kita bertubi tubi. Bayangkan dari luar mereka tumbuk sampai la ke dalam markas," ujar Suhaizan yang juga Ketua Penerangan DPP.

Kejadian sama juga berlaku di beberapa lagi markas pemuda yang lain, namun semua bukti dan maklumat lengkap sedang dikumpulkan.

Image(Gambar) Salah seorang mangsa yang ditetak dengan parang)

Suhaizan juga kesal di atas kejadian itu menganggap penyokong Umno BN tersebut bertindak membelakangi undang-undang.

"Sepatutnya kalau ada bukti, buat lah laporan Polis, bukannya datang serang macam ni," katanya.

Ekoran kejadian tersebut, DDP telah mengarahkan semua pemuda di seluruh negeri datang ke Bagan Pinang hari ini bagi membantu gerak kerja kempen di sini.

Satu taklimat khas kepada pemuda yang hadir akan di adakan malam ini di markas induk mereka.

"Kita arahkan semua pemuda seluruh negeri datang bantu kita di sini, kita bukan nak buat kacau, tapi kita nak berkawal untuk keselamatan," ujar Suhaizan lagi.

Mereka juga yakin tindakan penyokong Umno tersebut sebgai terdesak dan cuba memerangkap pemuda PAS agar bertindak agresif bagi dijadikan modal kempen mereka.

Image"Kita yakin, ini satu provokasi dan perangkap mereka. Modus operandi sama sebelum ini diguna Abdul Azeez, tapi nampaknya tak berjaya. Jadi ini dia agenda mereka seterusnya," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, seorang saksi mendakwa dia melihat kumpulan samseng tersebut menggunakan senjata semasa melakukan serangan di beberapa tempat lain.

"Saya nampak mereka guna kayu, topi keledar, pedang dan senjata lain seperti besi semasa melakukan serangan," dakwa seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan.

Selain mengoyakkan poster dan kain rentang PAS, samseng terbabit juga dikatakan turut memecahkan cermin dan merosakkan kereta milik penyokong Pakatan.

Harakaydaily bagaimanapun dalam usaha mancari kesahihan maklumat tersebut.

Berikutan itu DPP akan mengadakan satu sidang media tergempar dai Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, jam 11 pagi ini.

Sidang media tersebut akan diketuai Ketua DPP Pusat, Ustaz Nasarudin Hassan dan Suhaizan sendiri.

Turut akan didedahkan dalam sidang media tersebut adalah berkaitan maklumat terbaru penyelewengan undi pos.

Klik link di Harakahdaily

Rabu, Oktober 07, 2009

Rayuan Tok Guru Kepada Pengundi Bagan Pinang


PILIHAN RAYA KECIL KAWASAN DUN BAGAN PINANG (N31) PADA 11 OKTOBER 2009.

‘Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Kamu akan melihat manusia memasuki Agama Allah dengan berbondong-bondong(tanpa mengira bangsa dan bahasa).’ Surah An-Nashr Ayat 1 dan 2

Mari kita sama-sama panjatkan seribu satu kesyukuran kepada Pencipta langit dan bumi kerana dengan izin dan restu-Nya dapatlah juga saya berkongsi sama menumpahkan sedikit rasa hati .

Pilihanraya amat berkaitan dengan agama, keadilan dan tanggungjawab setiap rakyat dalam sistem demokrasi. Ia menyentuh hak warganegara. Ia ada kaitan dengan dosa pahala dan mendapat keredhaan Allah atau sebaliknya. Pilihanraya adalah medan pemilihan pemimpin yang bakal kita angkat sebagai penggubal dan pemantau undang-undang samada di Parlimen atau Negeri. Selaku wakil rakyat, segala bentuk kebajikan, sakit dan mati, susah dan senang; juga segala aduan dan masalah kita sepatutnya diberi perhatian oleh wakil rakyat. Dalam konteks inilah amat pentingnya kita memilih wakil rakyat yang memahami masalah serta prihatin terhadap kebajikan kita selaku pengundi.


Pemilihan saudara Zulkefly Mohamad Omar, Pesuruhjaya PAS Negeri sebagai calon PAS dikira cukup cucuk untuk meneruskan khidmat amal ini. Selaku seorang muda yang telah diuji kecekapan dan ketabahannya untuk memimpin Pas Negeri, dalam usia 44 tahun beliau diyakini mampu mencabar calon yang ditampilkan oleh UMNO/BN. Tidak syak lagi beliau adalah seorang yang bertenaga untuk menyaingi Umno dikerusi N31. Tanpa perlu diulas, semua orang sudah tahu betapa terdesaknya UMNO sehingga masih mengambil calon yang telah terbukti mempunyai rekod yang cemar dari segi amalan politik wang. Ini disahkan sendiri melalui Lembaga Disiplin UMNO yang telah mengambil tindakan tatatertib ke atas pelbagai amalan salah laku yang melibatkan beliau. Sebenarnya saya amat terkilan dengan sikap “double standard” yang diamalkan oleh UMNO dalam hujah mempertahankan pemilihan calon ini. Mereka mendabik dada kononnya mereka mematuhi kehendak “grass root”. Anehnya sewaktu merampas Kerajaan Negeri Perak yang sah, mereka telah dengan terang-terangan menafikan kehendak dan perasaan akar umbi yang telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat.


Buat 5,000 pengundi yang berada di kem-kem tentera saya mohon berpesan supaya jangan takut untuk menyatakan pendirian. Gunakanlah hak-hak demokrasi tuan-tuan dengan cermat. Inilah masa terbaik untuk menunjukkan sikap gagah perwira dengan penuh istiqamah dan keberanian. Pada saya, sikap Presiden UMNO yang tidak semena-mena membangkit-bangkitkan soal kenaikan gaji dan kemudahan perumahan bagi tentera di Port Dickson di hari pengisytiharan calon adalah sesuatu yang tidak sihat. Sudah tentu pengisytiharan ini akan disusuli dengan pelbagai janji berupa halwa, madu dan susu untuk tujuan-tujuan pancingan.


Kepada pengundi luar yang berada diperantauan, baliklah dan mengundilah dengan penuh amanah pada 11 Oktober 2009. Inilah satu-satunya senjata dan hak kita sebagai rakyat Malaysia dalam negara demokrasi. Tentukan undi Tuan/Puan akan memulihkan corak dan rupabentuk keadilan dan memperbaiki wajah demokrasi demi masa depan negara. Mari kita keluar untuk menyatakan keyakinan dan sokongan kita kepada saudara Zulkefly wakil PAS/PR yang tidak berbelah bagi. Dengan sepangkah undi, mari kita tolak kezaliman.


Ini bukan soal kalah menang dalam gelanggang politik semata-mata tetapi lebih mustahak dari itu, ia adalah perjuangan untuk mencari keredhaan Allah dan mendapat pahala di akhirat kelak. Bahkan ia sekaligus kesempatan untuk mengembalikan demokrasi kepangkuan rakyat. Sudah 7 kali pilihan raya kecil diadakan di Semenanjung dan kita telah memenangi ketujuh-tujuhnya. Mari kita ulangi kemenangan buat kali ke-8 pada 22 Syawal ini.Kita perlu panjangkan gema takbir Hari Raya yang berbunyi “Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar.Walillahilhamdu”


“UNDILAH PAS. SELAMATKAN NEGARA”


Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Mursyidul Am PAS.
Tanggal : 14 Syawal 1430/3 Oktober 2009

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS.


Tanggal: 3 Oktober 2009

Selasa, Oktober 06, 2009

MTD Semenyih di Penamaan Calon Bagan Pinang

Beberapa AJK MTD Semenyih telah turut serta bersama pemimpin-pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat mengiringi calon PAS Sdr. Zukilfly Mohamad Omar dalam Pilihanraya Kecil N.31 Bagan Pinang dibawah Parlimen Teluk Kemang.

Dengan kehadiran berpuluh ribu ahli PAS serta penyokong Pakatan Rakyat dihari penamaan calon Bagan Pinang membuktikan bahawa Pakatan Rakyat semakin diterima oleh rakyat Malaysia. Pelbagai latar belakang, keturunan, bangsa dan agama hadir dengan satu tujuan yakni menyokong calon PAS untuk menentang calon UMNO/BN didalam pilihanraya kecil tersebut.











Jumaat, Oktober 02, 2009

Majlis Dialog & Berbuka Puasa Kelab Penyokong

Kelab Penyokong PAS (India) Semenyih bersama MTD Semenyih telah mengadakan satu majlis dialog bersama Ahli Parlimen Hulu Langat dan Majlis Pimpinan Tertinggi PAS Kawasan Hulu Langat berserta majlis berbuka puasa yang julung kalinya diadakan di DUN Semenyih ini pada pada 23 Ramadhan 1430 bersamaan 12 Sept. 2009 yang lalu bertempat di padang bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rinching. Segala urusan perbelanjaan, khemah termasuk tempat solat bagi umat Islam dan sebagainya telah ditaja dan disediakan oleh Kelab Penyokong PAS tersebut. Inilah yang dinamakan hikmah kemenangan.

Kehadiran masyarakat India pada malam tersebut amat memberangsangkan kerana mereka ingin berkenalan dengan lebih dekat lagi pimpinan PAS Kawasan Hulu Langat dan Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr. Che Rusli B. Che Mat.


Didalam majlis tersebut beberapa soalan telah diajukan kepada pimpinan PAS Kawasan termasuk soalan yang sedang panas ketika itu berkenaan pembinaan kuil di Shah Alam dan juga mereka ada mengajukan soalan tentang jikalau PAS memerintah Malaysia bagaimana dengan nasib masyarakat India nanti dan juga tentang slogan `PAS For All', adakah dengan slogan ini Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan membuka keahlian kepada masyarakat bukan Islam serta beberapa soalan lain lagi yang berkaitan dengan masyarakat India. Alhamdulillah semua soalan tersebut telah dijawab oleh pimpinan PAS Kawasan Hulu Langat dan mereka amat berpuashati dengan jawapan yg diberi.

Diharap program ini dapat berterusan sampai bila-bila supaya ukhwah diantara pemimpin dan ahli-ahli PAS bersama masyarakat bukan Islam di Malaysia ini khususnya di DUN Semenyih dapat berkekalan supaya mereka memahami dengan lebih mendalam lagi apa yang diperjuangkan oleh PAS selama ini serta kita sama-sama dapat merealisasikan slogan "PAS FOR ALL".