Jumaat, November 28, 2008

Ceramah TGNA di Semenyih

Pada 22 Nov. 2008 bersamaan 24 Zulkaedah 1429 MTD Semenyih atau PAS DUN Semenyih bersama Kelab Penyokong PAS Semenyih telah berjaya membawa seorang hamba ALLAH yang amat disegani samada di Malaysia ataupun diperingkat antarabangsa untuk hadir bersama-sama rakyat di DUN Semenyih ini.



Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz B. Nik Mat satu nama yang cukup dikenali dan disegani oleh kawan mahupun lawan. Merupakan seorang Menteri Besar yang satu-satunya di Malaysia ini membawa dan memperkenalkan dalam pemerintahan beliau dengan konsep "Membangun Bersama Islam".

Beliau juga seorang yang diberi amanah oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk menjawat jawatan tertinggi didalam haraki Parti iaitu Mursyidul AM PAS dimana segala keputusan berkenaan parti akan diputuskan didalam Majlis Syura yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Sesungguhnya bumi Semenyih amat bertuah pada hari tersebut kerana Tuan Guru Dato' Nik Aziz sanggup hadir dibumi Semenyih walaupun didalam kesibukan beliau mentadbir negeri dan juga Parti. PAS DUN Semenyih difahamkan beliau hadir di Semenyih hanya kerana jemputan PAS DUN Semenyih dan Kelab Penyokong PAS pada hari tersebut. Beginilah jiwa dan sifat seorang pemimpin yang sanggup hadir dari jauh hanya semata-mata memenuhi jemputan dari PAS DUN Semenyih dan Kelab Penyokong PAS walaupun Semenyih ini hanya sebuah pekan yang kecil dan kurang dikenali.

Perjalanan TGNA di Semenyih.

Lebih kurang jam 5.30 ptg beliau tiba di KLIA dengan diiringi oleh Setiausaha Politik beliau.

Timbalan YDP PAS Kawasan Hulu Langat Sdr. Mat Jan bersama Pengarah MTD Semenyih Sdr. Samsol bersama beberapa jawatankuasa MTD telah menjemput TGNA di KLIA.

6.30 ptg, TGNA ditempatkan dirumah persinggahan yang terletak di Bandar Rinching. Disini beberapa aktiviti telah diatur oleh pihak PAS DUN Semenyih antaranya beliau akan berdialog bersama masyarakat India, menikmati makan malam dan bersolat.



9.00 malam, TGNA bertolak ketempat ceramah yang terletak lebih kurang 5 km dari tempat persinggahan beliau, perjalanan TGNA diiringi oleh petugas keselamatan Unit AMAL Hulu Langat. Kumpulan bermotorsikal sebanyak 20 buah yang terdiri dari pemuda PAS DUN Semenyih dan juga pemuda India telah mengiringi perjalanan TGNA sambil membawa bendera PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau tiba ditempat ceramah disambut oleh YDP PAS Kawasan Hulu Langat Tuan Hj. Razaly Hasan diiringgi dengan pukulan gendang tradisional India bersama deretan anak-anak gadis India yang memegang lilin. Apabila beliau sampai dipentas utama TGNA disambut pula oleh paluan kompang dari anak-anak muda yang dipanggil Kompang Remaja Al-Fateh (KRAF).



Diatas pentas TGNA disambut oleh YB. Dato' Dr. Hasan Ali (Exco Kerajaan Negeri Selangor/Pesuruhjaya PAS Selangor), YB Dr. Che Rosli (Ahli Parlimen Hulu Langat/Tim. Pesuruhjaya PAS Selangor), Sdr. Ayau (Pengerusi Kelab Penyokong PAS Semenyih) dan Sdr. Jamzuri Ardani (Naib YDP PAS Kawasan Hulu Langat) merangkap Pengerusi Majlis pada malam tersebut.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran beberapa pemimpin-pemimpin tempatan yang terdiri dari pemimpin gereja, kuil, PIBG dan sebagainya. Acara kalungan bunga malai juga diadakan sebagai tanda penghormatan dan meraikan kehadiran pemimpin yang disayangi oleh pelbagai kaum itu.

Kelab Penyokong PAS juga telah memberi cenderahati kepada TGNA dan pemimpin-pemimpin PAS yang lain sebagai kenang-kenangan dari mereka.

Majlis berakhir lebih kurang jam 12.00 malam dengan kehadiran yang sangat memberangsangkan dengan dihadiri oleh pelbagai kaum. TGNA meninggalkan majlis dan dijadualkan berehat dirumah Kelantan kerana keesokan paginya TGNA akan terus pulang ke Kelantan.

Terimakasih Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz B. Nik Mat kerana sudi hadir ke Semenyih & terimakasih juga kepada petugas-petugas MTD Semenyih, Kelab Penyokong PAS, Unit AMAL yang dipimpin oleh Sdr. Rusli Abdullah, JKR Kajang, Alam Flora dan juga kepada yang hadir kerana telah menjayakan majlis tersebut.

Lihat album gambar ceramah disini...

Selasa, November 25, 2008

Treasure Hunt

SEMENYIH Nov. 2008 - Pakatan Rakyat Semenyih telah mengadakan aktiviti `Treasure Hunt - Mesra Rakyat Keluarga Bahagia' pada 16 Nov. yang lalu. Sebanyak 20 kenderaan telah terlibat menyertai aktiviti tersebut.



Program ini telah dirasmikan oleh YB Cikgu Lee (ADUN Kajang), antaranya dalam ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa dengan program ini dapat merapatkan lagi kemesraan antara keluarga dan juga dapat menjadi masyarakat yang prihatin tanpa mengira kaum dan juga agama supaya menjadikan kehidupan kita menjadi lebih harmoni dan berilmu.



Para peserta dilepaskan tepat pada jam 9.00 pagi bermula dari pusat membeli-belah The Store yang berada didalam pekan Semenyih atau lebih dikenali sebagai `Semenyih Sentral' seterusnya laluan tersebut melalui Sungai Tekala hingga ke Bt. 14 Hulu Langat dan memasuki lebuhraya Cheras-Kajang hingga ke Saujana Impian dan kembali ke Semenyih.

Tempat terakhir peserta-peserta ini perlu berkumpul adalah di Dewan Md. Silin, Pekan Beranang. Acara penyampaian hadiah dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB. Dr. Che Rusli B. Che Mat (Ahli Parlimen Hulu Langat).



Juara keseluruhan `Treasure Hunt' pada tahun 2008 ini telah dimenangi oleh Puan Sapura bersama anak-anak beliau.

Lihat album disini...
Treasure Hunt

Jumaat, November 21, 2008

CERAMAH UMUM


YAB TUAN GURU DATO' NIK AZIZ B. NIK MAT
(Menteri Besar Kelantan / Mursyidul AM PAS)

YBHG. USTAZ GHANI ABDUL RAHMAN
(Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka)

diganti oleh...

YB. DATO' Dr. HASAN ALI
(Exco Kerajaan Negeri Selangor / Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor)

22 Nov. 2008 / 24 Zulkaedah 1429 (Sabtu)
9.00 malam

Padang Bola, Ladang Rinching,
Semenyih, Selangor

dialih tempat ke...

Pejabat Pentadbiran PAS DUN Semenyih,
Bandar Rinching (Seksyen 5)
(berhadapan Padang Bola, Ladang Rinching)

Anjuran MTD Semenyih & Kelab Penyokong PAS

SEMUA DIJEMPUT HADIR

Selasa, November 18, 2008

Sejarah dan kehebatan seorang agamawan



Oleh Mohd Sayuti Omar

OKTOBER lepas genap 18 tahun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 77 menjadi Menteri Besar Kelantan. Usianya ketika beliau mengangkat sumpah sebagai MB 59 tahun. Beliau dilantik menjadi MB Kelantan pada 21 Oktober apabila PAS berjaya menumbangkan kerajaan BN pimpinan Muhammad Yaacob pada pilihan raya umum ke - 10. PAS yang bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46, Hamim dan Berjasa membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menyapu bersih kesemua 39 kerusi DUN dan 13 Parlimen. Kedudukan kerusi mengikut parti ialah, kerusi DUN, PAS 24, Parti Melayu Semangat 46 13, masing-masing satu Hamim dan satu Berjasa. Manakala untuk kerusi Parlimen, PAS, 6 kerusi dan Semangat 46, 7 kerusi.

Perlantikan itu sesuai dengan kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas negeri Kelantan. Nik Abdul Aziz mengambil alih jawatan itu pada tahun 1978 daripada Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda yang melepaskan jawatan berkenaan dalam keadaan terdesak. Beliau menguasai parti sepenuhnya pada tahun 1982. Dengan kedudukan itu beliau mengemudikan PAS Kelantan.



Perlantikan Nik Aziz itu melakar sejarah buat dirinya sendiri, kepada PAS dan rakyat negeri Kelantan seluruhnya kerana beliaulah satu-satunya Menteri Besar yang berlatar belakangkan pendidikan agama bergelar ustaz. Beliau mendapat pendidikan peringkat tertinggi di Darul Ulum Deobond India dan Azhar Mesir dengan memperolehi ijazah dan master dalam bidang Bahasa Arab dan Perundangan Islam. Perlantikan Nik Aziz itu merupakan Menteri Besar Kelantan yang ke-7 dan yang pertama dari kalangan agamawan atau berpendidikan agama yang mampan.

Menteri Besar Kelantan pertama ialah Tengku Hamzah Zainal Abidin, (1947- 1953) kedua, Nik Ahmad Kamil, (1953- 1958), kedua mereka merupakan Menteri Besar sebelum Merdeka dan dari Perikatan. Menteri Besar ketiga ialah Ishak Lotfi Omar (1959 – 1964), keempat, Mohd Asri Muda (1964 – 1974), kelima, Muhammad Nasir (1974 – 1978), manakala keenam Muhammad Yaacob (1978 – 1990). Keenam-enam MB ini berlatar belakangkan sekular dan tidak bergelar ustaz. Jika dibandingkan dari segi jangkamasa (tempoh) ternyata Nik Abdul Aziz mengatasi ke semua bekas MB itu. Keenam MB tersebut berkhidmat tidak sampai tiga penggal atau mencecah lebih sepuluh tahun.

Mungkin rekod yang dimiliki Nik Abdul Aziz kini sukar untuk dipecahkan oleh sesiapa saja menjadi MB Kelantan selepas ini. Perkhidmatan Nik Abdul Aziz kini sudah memasuki tahun ke 19 dan jika beliau berhajat untuk meneruskan perkhidmatannya sehingga pilihan raya akan datang beliau mungkin akan menyamai rekod perkhidmatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.Sekiranya beliau akan mengundur diri menjelang pilihan raya ke -13 yang dijangka pada 2011 atau 2012 bermakna beliau akan menjadi MB selama lebih tiga dekad dan akan menjadi MB kedua yang lama berkhidmat selepas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kini sudah berkhidmat selama 27 tahun.

Dalam pada itu kemunculan Nik Abdul Aziz menjadi MB ia juga secara tidak langsung memartabatkan golongan agamawan dan ulama.Kapasiti beliau sebagai ustaz yang kemudian dinobatkan dengan panggilan “tok guru” menjawat jawatan itu secara tidak langsung menaikan martabat dan darjat golongan agama di mata masyarakat. Apa lagi kejayaan dan keberkesanan kepimpinan dan pentadbirannya membuktikan bahawa golongan agama – berpendidikan Islam, berbudaya jubah dan serban juga mampu mentadbir dengan baik. Sesungguhnya golongan agamawan tumpang merasa bangga atas kejayaan dicapai Nik Abdul Aziz.

Justeru kedudukan ataupun pandangan seorang kepada golongan ulama sebelum ini sudah berubah. Dengan kejayaan dan sejarah dicatat Nik Abdul Aziz, ulama sudah dilihat sebagai golongan yang mampu untuk menjadi pemimpin ataupun duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan golongan sekular dan profesional duniawi yang memonopoli jawatan dalam politik.Tanpa disedari kedudukan dan kejayaan Nik Abdul Aziz juga telah menyuntik semangat kepada golongan Islam tradisional untuk menjadi lebih yakinkan diri sendiri dan bersaing sama dengan golongan sekular yang sering mengakui mereka lebih layak dan pakar mentadbir.

Dalam konteks ini kejayaan Nik Abdul Aziz itu bolehlah dianggap MB itu adalah tokoh pencerahan semula era ulama dan Islam yang sekaligus merungkaikan ikatan rasa rendah diri dan inferiority complex dari kalangan lulusan agama. Rahsia kejayaan dan keutuhan pengaruh. Kejayaan dan ketahanan Nik Abdul Aziz menduduki kerusi itu tanpa pergolakan ialah hasil gabungan dua unsur; personalitinya dan polisi dan dasar Islam yang dibawanya. Nik Abdul Aziz tidak hipokrit dengan Islam dan tegas serta mengemukakan pendekatan Islam dengan mudah (bukan paksaan) yang dicerminkan menerusi akhlaknya sendiri. Beliau seorang hamba yang muslim dan pratikal, pemimpin yang mutaqim.

Kehidupannya yang zuhud, bersifat tawaduk, merendah diri dan tidak bertukar bulu selepas menjawat jawatan MB, menyebabkan rakyat teruja dan terpesona serta melihat beliaulah pemimpin yang memimpin dengan akhlak dan bukan dengan slogan. Yang bersedia mengkesampingkan kepentingan diri dan taqwa kepada Allah. Ini sesuai dengan fitrah Islam dan juga apa yang ditunjuki oleh Junjungan Agung Nabi Muhammad s.a.w. yang menawan dan menakluki musuh dengan akhlak dan bukan harta benda, kehebatan, kuasa dan keegoaan dengan duniawinya. Sebaik beliau menjadi MB beliau terus memperkenalkan beberapa polisi dan pendekatan baru ala beliau – stail Nik Abdul Aziz.

Beliau merubah secara perlahan-lahan sehingga mereka yang tidak fokus kepada pentadbirannya tidak akan merasai perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh beliau secara evolusi yang mengesankan. Perubahan itu bermula dari bawah; dari perkara sekecil-kecilnya seperti amalan tidak membazir eletrik dengan menutup suiz lampu sewaktu rihat sehinggalah kepada melarang pemberian hadiah atau cenderamata dan seterusnya kepada penghapusan judi dan maksiat dan pemansuhan pemberian kawasan balak secara tertutup.

Dalam menerapkan stail pemerintahannya, Nik Abdul Aziz seorang yang bijak dan bangkit (responsif) kepada suasana semasa. Tindakannya juga halus dan bersahaja menyebabkan masyarakat tidak ditimpa satu kejutan budaya yang dibawa itu kandatipun sesetengahnya agak baru dan kontras dengan nilai semasa. Ini berlaku kerana sebelum beliau menerapkan sesuatu pendekatan baru kepada diri orang lain, baik rakan politik atau kerajaan beliau terlebih dahulu mengamalkannya untuk menjadi teladan kepada umum.

Mengingati kepada tindakan atau kaedah Nik Abdul Aziz ini samalah dengan apa yang diperlakukan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda ingin menyuruh para sahabat mencukur rambut sebagai meraikan kejayaan termaterainya perjanjian Hudaibiyah. Rasulullah tidak menyuruh sahabat berbuat demikian sebaliknya beliau terlebih dahulu membotakkan kepalanya sehingga ianya kemudian diikuti oleh semua sahabat.

Antara perubahan awal yang dilakukan Nik Abdul Aziz pada tahun-tahun awal beliau menjadi MB ialah;

i. Tidak menerima sebarang pemberian hadiah atau cenderamata sewaktu mengadakan lawatan.

ii. Tidak membeli kereta rasmi yang baru dan terus gunakan yang telah sedia ada.

iii .Memotong elaun MB sebanyan 45 peratus iaitu 40 peratus untuk kerajaan dan 5 peratus untuk parti.

iv. Menghapuskan elaun berbuka puasa sebanyak RM15,000 setahun.

v. Menghapuskan elaun hari raya sebanyak RM30,000.

vi. Menjimatkan elaun keraian kedua timbalan MB sebanyak RM18,000.

Manakala mengenai polisi dan dasar kerajaan untuk menjamin keadaan sosial yang harmoni dan menepati kehendak agama tindakan hapuskan judi dan maksiat dilakukan dengan segera. Sebulan selepas menjadi MB, beliau mengumumkan bahawa perjudian toto, loteri dan nombor ekor dan apa juga bentuk perjudian dan maksiat diharam. Selain itu beliau juga merombak tradisi sebelum ini dengan melantik bukan Islam / Melayu dalam PBT dan mengundang bukan Islam menghadiri majlis anjuran kerajaan atau parti. Cara ini adalah dakwah secara tidak langsung kepada bukan Islam untuk melihat keindahan, keadilan dan kesyumulan Islam.

Tindakan ini kecil dan bukan memerlukan proposal yang berjela-jela namun ia memberi impak besar dan menyebabkan orang melihat perubahan besar dalam pentadbiran. Dengan pendekatan itu juga menyebabkan masyarakat Kelantan dan diluar mengenali diri dan akhlak Nik Abdul Aziz. Pemotongan elaun keraian, hari raya, pengharaman judi, maksiat, arak dan sebagainya tidak dibuat oleh mana-mana MB tetapi dilakukan oleh beliau. Sudah pasti dengan teladan itu menyebabkan ia memberi kesedaran atau menjadikan orang lain malu untuk berlebih-lebih dalam soal itu. Hasil dari tindakan itu hasratnya untuk membawa kebaikan kepada rakyat ternyata tercapai. Jika diperhatikan tindakan beliau berhikmah dan mempunyai mesej agar ia menjadi ikutan orang lain.

Adilnya Nik Abdul Aziz sebelum beliau melakukan perubahan ke atas diri orang lain beliau terlebih dahulu mengubah dirinya sendiri. Perubahan di luar dilakukan ke atas pemimpin Pas atau wakil rakyat kemudaian kepada kakitangan Kerajaan yang seterusnya akan terlaksanakan dalam komuniti. Tarbiayah ke dalaman diusahakan. Pembentukan modal insan ataupun pembangunan insan telah lama diterapkan beliau malahan menjadi keutamaanya. Seperti mengadakan tazkirah di pejabat, majlis tadarus Quran di jabatan-jabatan atau agensi kerajaan, progam Ihya Ramadhan, sembahyang Terawih di lapangan terbuka dan sebagainya adalah program membersih dan menyucikan jiwa.

Nik Abdul Aziz seorang yang berkeyakinan kepada falsafah kebersihan perbuatan seseorang itu bermula dari jiwa yang bersih. Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan dan hubungan beliau sebagai pemimpin politik dan selaku MB dengan rakyat beliau senantiasa turun ke bawah. Lawatan demi lawatan bukan saja dalam waktu rasmi pejabat tetapi di luar pejabat. Jika dihitung waktu beliau berada di luar rumah (berjuang) lebih banyak daripada waktu di rumah. Hakikat ini jelas apabila setiap kali beliau keuzuran, demam, sakit dan sebagainya beliau merungut atau terkilan kerana tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang hamba. Sikap ini menjelaskan beliau seorang yang konsisten kepada tugas dan tanggungjawabnya. Beliau juga jarang sekali mengambil cuti untuk berihat dan menggunakan peruntukan untuk melancung ke luar negeri. Kalau pun beliau mengambil cuti hanya untuk menunaikan umrah.

Beliau seorang juga tidak suka kepada protokol. Tidak ada protokol untuk menemuinya melainkan protokol itu ditetapkan oleh para pegawainya atas tujuan tertentu atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kerana itu pintu pejabatnya terbuka seperti mana terbukanya pintu rumahnya. Dan pintu rumahnya pula terbuka seperti mana terbukanya pintu suraunya yang berdepetan (berhampiran) dengan rumahnya. Datanglah pada bila-bila masa beliau akan memberi ruang dan kesempatan menemui sesiapa saja atas apa juga tujuan. Ada kalanya mereka yang ke pejabat bukan saja untuk urusan kerajaan dan parti tetapi urusan peribadi seperti untuk mengambil air tawar (air doa) daripadanya. Itulah antara rahsia ataupun fatwa mengapa beliau disenangi, pengaruhnya terus hijau melebar dan sekaligus dapat bertahan sehingga kini sebagai MB Kelantan.



* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang Rencana khas sempena 18 tahun pemerintahan Tok Guru di Kelantan

Khamis, November 13, 2008

Masjid Bandar Tasik Kesuma

SEMENYIH, 9/11/08 - YB Dr. Che Rusli B. Che Mat (Ahli Parlimen Hulu Langat) bersama Sdr. Samsol Bahari (Ahli Majlis MPKj merangkap Pengarah MTD PAS Semenyih) dan beberapa ahli jawatankuasa pembinaan Masjid Bandar Tasik Kesuma telah melawat tapak pembinaan masjid Bandar Tasik Kesuma yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.



Lawatan ini diadakan berikutan pengaduan dari AJK Pembinaan Masjid dan juga penduduk di Bandar Tasik Kesuma yang tidak berpuashati dengan kedudukan masjid tersebut yang berada jauh dari penempatan penduduk.



Oleh itu AJK Pembinaan Masjid memohon campur tangan YB Ahli Parlimen untuk membantu penduduk disekitar Bandar Tasik Kesuma semoga kedudukan masjid tersebut dapat diubah ketempat yang lebih strategi dan bersesuaian untuk kemudahan penduduk Bandar Tasik Kesuma.

PAS perhalusi keahlian bersekutu

Abdul Rahim Sabri Nov 13, 08 12:34pm - Malaysiakini

Kepimpinan tertinggi PAS telah membincangkan secara mendalam kemungkinan membuka keahlian bersekutu kepada bukan Islam dalam PAS.

Ia merupakan atara dua agenda utama yang dibincangkan sesi permukiman pimpinan PAS selama tiga hari di Langkawi pada hujung minggu lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang turut menghadiri sesi permukiman tersebut.Menurutnya, isu keahlian tersebut perlu dibincangkan dengan mendalam dan terperinci dalam siri-siri pertemuan pimpinan PAS.

Katanya, ini kerana ianya melibatkan dasar PAS yang harus dibawa ke muktamar tahunannya dan memerlukan pindaaan perlembagaan parti.Isu keahlian bersekutu bukan Islam dan langkah mengukuhkan hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat, menjadi topik perbahasan panas dalam muktamar parti yang ke-54 di Ipoh Ogos lalu.

Usul membabitkan perkara tersebut turut diluluskan oleh perwakilan muktamar tersebut untuk diperhalusi oleh kepimpinan parti.Kelab penyokongSejak 2004, PAS telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dianggotai oleh penyokong bukan Islam di peringkat negeri, dengan keahliannya kini mencecah 18,000 orang.

Berikutan sokongan yang menggalakkan dari kalangan pengundi bukan Islam terhadap calon PAS dalam pilihanraya umum Mac lalu, Dewan Pemuda PAS pusat melangkah setapak lagi dengan menubuhkan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP) yang dilancarkan di pejabat agung PAS di ibunegara Sabtu ini.

Menurut Mohamed Daud lagi, sesi permukiman itu dihadiri oleh anggota Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa PAS PusatMereka termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Menurut beliau lagi, pimpinan PAS juga turut membincangkan bagaimana untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat."Kita perhalusi lagi syarat-syaratnya. Kita akan memanggil pimpinan pelbagai peringkat, duduk sekali."Kita fikir masak-masak (bagaimana) untuk memperkukuhkan Pakatan," katanya.

Sikap PAS terhadap perpaduan

PAS mengikuti perkembangan mutakhir dalam isu dan persoalan yang membabitkan kepentingan Perpaduan Nasional.

Perkembangan terkini menggambarkan ketidakpuasan hati kaum lain melalui kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan parti-pari politik samada dari komponen BN ataupun dari Pakatan Rakyat.

Isu kenyataan tentang pertikaian fakta sejarah, tuntutan kuaota 30% pemilikan korporat untuk bumiputera dan perlantikan Pengurus Besar PKNS bukan dari orang Melayu.

Begitu juga sebaliknya kenyataan yang menyinggung masyarakat bukan Melyu telah menimbulkan berbagai perspektif yang boleh menggugat perpaduan sekaligus kestabilan politik negara.

PAS menyeru supaya semua pihak mengawal emosi masing-masing dan melihat perspektif yang lebih besar dari kepentingan politik perkauman. Sepatutnya konsensus terhadap Kontrak Sosial, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menjadi penghayatan yang perlu ditajdidkan maknanya untuk kepentingan semua rakyat Malaysia.

Oleh itu Lujnah Perpaduan Nasional ingin mencadangkan kepada semua pihak langkah berikut;

1. Kita harus mengecam diri kita sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat dan mempunyai susurgalur budaya dan sejarahnya yang tersendiri. Pengecaman kepada kaum dan identiti budaya masing-masing hanya akan meningkatkan lagi ketaksuban dan sentiment perkauman.

2. Hindari syak wasangka dan mentaliti ethno-centric yang sentiasa mengundang konflik sosial samada secara sembunyi atau nampak yang melihat kaum lain dengan kacamata kebencian dan permusuhan.

3. Hayati kontrak sosial sebagai satu toleransi yang asasnya meletakkan Raja Melayu, Agama Islam dan orang Melayu sebagai asas kepada terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Persekutuan Malaysia. Dengan pemahaman ini masing-masing akan lebih peka dalam menyampaikan apa sahaja pandangannya yang membina untuk negara.

4. Perlembagaan Persekutuan adalah semangat yang memandu apa sahaja transformasi politik hari ini supaya tidak tersasar niat dan semangat patriotik kita sebagai warganegara yang bertangungjawab kepada negaranya.

5. Pembentukan negara kita mestilah dengan acuan kita, pandangan dan pendapat dari luar tidak boleh diciplak secara totok tanpa kesesuaian dengan proses yang unik yang dilalui oleh negara kita.

6. Penghormatan kepada Islam sebagai agama resmi persekutuan negara hari ini seharusnya menjadi nilai paling supreme kepada seluruh warganegara Malaysia dengan tidak menyekat kebebasan menganut agama lain.

Lujnah Perpaduan Nasional yakin dengan langkah ini, keruncingan dari masalah perkauman hari ini dapat diselamatkan apatah lagi selama ini negara kita diperintah dengan hegemoni BN yang menyalahgunakan kerangka dan asas negara untuk tujuan kepentingan sempit politik perkauman yang mereka amalkan.

Sekian

Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS
Ahli Parlimen Malaysia.

Selasa, November 11, 2008

Jalan Semenyih-Kajang sesak....

Ini jawapan dari JKR melalui email berkenaan jalan tersebut.....aduan atau soalan telah diajukan oleh salah seorang AJK PAS DUN Semenyih....

AJK PAS :

Tuan,

Tahniah dan terima kasih kerana usaha untuk meningkatkan jalan di sekitar Semenyih. Emel saya sebelum ini pernah menyentuh isu berkaitan jalan di Semenyih ini. Bagaimanapun, mohon perhatian pihak tuan terhadap beberapa perkara berikut:

1.Lebuh raya LEKAS tidak menyelesaikan masalah lalu lintas di Pekan Semenyih. Ini disebabkan jalan masuk dan jalan keluar tetap melalui pekan Semenyih. Kos tol RM1.10 antara jalan masuk Semeyih ke laluan keluar Kajang terlalu mahal. Seharusnya ada laluan keluar ke Bandar Rinching atau Bandar Tasik Kesuma. Adakah perancangan kearah itu?

2. Seharusnya jalan berhadapan stesen timbang JPJ Semenyih dan persimpangan Sunway Semenyih diperbesarkan. Sekarang ini kesesakan lalulintas sebelah pagi terlalu teruk, ditambah lagi dengan pembinaan stesen minyak Petronas di hadapan stesen timbang JPJ Semenyih yang menyumbang kepada kesesakan yang lebih teruk. Minta perhatian tuan untuk melebarkan satu lorong lagi jalan berkaitan. Berdasarkan pandangan kasar saya, `reserved' bahu jalan sangat mencukupi untuk membesarkan jalan berkaitan. Mohon perhatian dan tindakan lanjut pihak tuan.

JKR:

Aduan JKR [mailto:aduan@jkr.gov.my]
Sent: Thursday, November 06, 2008 2:43 PM
To:
Cc: Jurutera Daerah Hulu Langat;aduan@sel.jkr.gov.my
Subject: Fwd: Jalan Semenyih-Kajang Berhampiran stesen timbang JPJ Semenyih

Salam, Tuan,

Lanjutan maklumbalas terdahulu, adalah dimaklumkan bahawa pihak JKR sedia maklum akan keadaan seperti tuan bangkitkan dalam perkara (2).

Untuk makluman, kerja melebarkan jalan di sebelah JPJ sedang dalam pelaksanaan dan apabila siap ia akan membantu mengurangkan kesesakan jalan dari Semenyih ke Kajang

Mengenai perkara (1) seperti dibangkitkan, ianya telah dipanjangkan kepada pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia untuk tindakan lanjut

Pihak tuan boleh menghubungi LLM melalui saluran emel llm@llmnet.gov.my. Sehubungan dengan itu pihak kami mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan tuan memajukan aduan tersebut kepada kami

Sekian, terima kasih

Urusetia Aduan JKR Bahagian Komunikasi Korporat
Caw. Pengurusan Korporat
Jabatan Kerja Raya Malaysia
Tingkat 1, Blok B (Lama)
Kompleks Kerja Raya
Jln. Sultan Salahuddin
50582 Kuala Lumpur
Tel: 03-2696 7651 / 7647 / 7660 / 7664

AJK PAS:

Terima kasih atas keperihatinan dan tindakan pihak tuan.

Jalan di hadapan JPJ Semenyih kelihatan telah diperbesarkan, semoga tidakan sedemikian dapat membantu kesesakan trafik. Mungkin garisan jalan sedia ada agak mengelirukan, dan sebaiknya garisan jalan dapat diperbaiki sedikit untuk kemudahan pengguna.

Jalan di simpang Sunway Semenyih (lebih kurang 100m daripada JPJ Semenyih) mungkin perlukan perhatian yang lebih sedikit daripada pihak tuan. Pada pandangan mata kasar saya, ada ruang pembesaran jalan yang boleh dilaksanakan. Semoga mendapat perhatian yang lebih sedikit daripada pihak tuan.

Terimakasih.

JKR:

From: Jurutera Daerah Hulu Langat [mailto:hululangat@jkr.gov.my]
Sent: Monday, November 10, 2008 1:40 PM
To:
Cc: Aduan JKR
Subject: RE: Jalan Semenyih-Kajang Berhampiran stesen timbang JPJ Semenyih

Syarikat Roadcare telah menyiapkan kerja garisan jalan dihadapan JPJ Semenyih dan pejabat ini ada cadangan melebarkan jalan dari simpang sunway semenyih ke semenyih sepanjang 150M

Sekian, terima kasih

Itulah antara komunikasi diantara AJK PAS dengan JKR, diharap kesesakan di Jalan Semenyih-Kajang selepas ini dapat dikurangkan.

Aziz pengerusi baru SPR


Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilantik pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR menggantikan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkuatkuasa 31 Disember ini.

Abdul Aziz, 58, merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang bersara wajib pada 24 Januari 2006 sebelum dilantik semula ke jawatan sama secara kontrak, lapor laman web Utusan hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pelantikan Abdul Aziz dibuat kerana Ab Rashid telah tamat tempoh perkhidmatannya apabila mencapai umur 66 tahun pada 30 Disember ini.

Harga petrol wajar bawah RM1.62 seliter

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar menurunkan harga minyak petrol ke paras RM1.62 seliter berikutan trend penurunan harga minyak dunia semasa yang kini berada pada paras AS$64.10 setong.

Harga itu berdasarkan jangkaan Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Abdul Rahim Anuar ketika diminta mengulas kewajaran paras harga petrol semasa jika mengikut pasaran minyak global terkini.

Namun kata Abdul Rahim, beliau yakin kerajaan mampu untuk menurunkan harga minyak pada paras yang lebih rendah..

Menurut beliau, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana ketika harga minyak petrol dijual pada harga RM1.92 seliter sebelum ini, harga minyak di pasaran dunia adalah sekitar AS$78 setong.

“Jika diikutkan, kerajaan mampu turunkan harga petrol lebih rendah daripada RM1.92 seliter kerana harga minyak di pasaran dunia dijangka turun lagi,’’ katanya.

KOSMO online - 11/11/08

PAS mula perkasa tarbiyyah



JERANTUT: PAS memulakan program untuk memperkasakan kembali program terbiyyah kepada ahli-ahlinya - satu usaha yang dilihat untuk mengurangkan banyak masalah yang melanda parti itu.

Lebih satu dekad lalu program terbiyyah PAS dikatakan semakin kurang diberi perhatian oleh pengikut parti itu, satu tempoh yang menyaksikan keahlian PAS bertambah berkali ganda dengan penyertaan daripada pelbagai golongan masyarakat.

Justeru memperkasakan kembali tarbiyyah dikalangan pengikut-pengikut PAS diyakini faktor penting sebagai persediaan dalaman untuk menghadapi cabaran semasa dan kelangsungan daya tahan parti.

"PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 bertahan sehingga ke hari ini kerana apa? Tarbiyyah..." kata Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa dalam Konvensyen Tarbiyyah peringkat negeri Pahang.

"Tapi hari ini saya percaya ada kawasan yang sudah tidak menjalankan usrah (salah satu dari pengisian tarbiyyah) lagi," tambah beliau.

Selain usrah iaitu satu bentuk perbincangan berkumpulan dikalangan ahli PAS biasanya dibuat secara bulanan, pengisian lain yang popular dalam program tarbiyyah PAS ialah tamrin dan mukhayyam.

Nasharuddin merupakan pengerusi Lujnah Tarbiyyah PAS, satu jawatan yang sebelum ini dipegang oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - kini memulakan usaha memperkasakan kembali elemen yang dikatakan kunci kekuatan PAS itu.

Setakat ini dilaporkan tiga negari telah selesai mengadakan pusingan pertama Konvensyen Tarbiyyah, program ini akan dilaksanakan keseluruh negara di mana menglibatkan Presiden dan Timbalan Presiden sendiri sebagai pembentang kertas kerja.

Dua timbalan kepada Nasharuddin telah dilantik iaitu Idris Ahmad dan Abu Bakar Chik yang akan melaksanakan peranan masing-masing bagi memastikan nafas baru kepada program tarbiyyah.

dipetik dari siasahdaily.blogspot.com

Isnin, November 10, 2008

Treasure Hunt


Assalamualaikum....

PAS DUN Semenyih bersama Pakatan Rakyat Semenyih akan mengadakan "Treasure Hunt" pada 16/11/2008 iaitu pada hari Ahad ini.

Kepada yang berminat boleh memuat-turun dan mengisi borang yang disediakan dan hantar borang tersebut kealamat Pejabat Pentadbiran PAS DUN Semenyih, No. 34-2, Jalan 5/12, Bandar Rinching (Seksyen 5), 43500 Semenyih, Selangor sebelum atau pada 12/11/2008.

Atau menghubungi ditalian 013-3353422 (Samsol) dan 019-2754151 (Nazar).

Jumaat, November 07, 2008

"BREAKFAST" RAYA...



Buat julung-julung kalinya dalam sejarah PAS Semenyih telah mengadakan satu jamuan`Breakfast’ Raya pada 26 Okt. 2008/26 Syawal 1429. Tujuan diadakan program tersebut adalah untuk menggantikan jamuan hari raya yang biasa diadakan sempena bulan Syawal yang lalu.

Kebiasaannnya masyarakat Malaysia khususnya bangsa Melayu yang beragama Islam bila tiba sahaja kedatangan bulan Syawal akan mengadakan rumah terbuka, selalunya diadakan pada waktu petang ataupun malam dengan juadah yang bermacam-macam.

Tapi lain pula yang diadakan oleh PAS DUN Semenyih, kita mengadakan jamuan minum pagi raya atau `breakfast raya’ dari jam 7.30 pagi – 9.30 pagi dengan hanya menyajikan makanan seperti roti canai, kuih-muih dengan minuman teh tarik dan teh `o’. Walaupun dengan hanya jamuan yang ringkas ini masyarakat berbilang kaum dan bangsa hadir bersama-sama untuk memeriahkan `breakfast raya’ tersebut.




Melihat perkara ini misi dakwah PAS dengan slogan `PAS UNTUK SEMUA’ telah berjaya direalisasikan oleh PAS DUN Semenyih dengan meruntuhkan sentimen perkauman sempit dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan Orang Asli khususnya di DUN Semenyih telah membuktikan apa yang dilaungkan oleh UMNO sejak kebelakangan ini hanya omongan politik murahan sahaja.



Majlis tersebut juga diserikan oleh kehadiran beberapa pemimpin dari Pakatan Rakyat Hulu Langat, Ketua-ketua Kampung dan juga Ahli Parlimen Hulu Langat YB. Dr. Che Rusli B. Che Mat. Dengan kehadiran YB Dr. Che Rusli B. Che Mat dalam majlis tersebut telah berjaya mengerat dan menyegarkan lagi hubungan diantara wakil rakyat dan masyarakat setempat.

Insyallah, acara ini akan menjadi acara tahunan bagi Pakatan Rakyat Semenyih khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) DUN Semenyih.

Salam perkenalan

Assalamualaikum,

PAS DUN Semenyih melakarkan satu lagi sejarah dengan wujudnya blog bagi PAS DUN Semenyih.

Blog ini diwujudkan untuk memaklumkan tentang aktiviti-aktiviti dan berita-berita yang berlaku didalam negara Malaysia khususnya di DUN Semenyih ini.

Untuk makluman DUN Semenyih ini terletak didalam kawansan Parlimen Hulu Langat, Selangor. Pengundi yang berdaftar dengan SPR didalam DUN ini adalah seramai 28,203.

Walaupun semasa PRU12 yang lalu DUN ini telah dimenangi oleh UMNO/BN dengan majoriti 1140 mengatasi undi PR/PKR tetapi pimpinan serta ahli-ahli PAS serta Pakatan Rakyat di DUN ini terus bersemangat untuk bekerja bagi memastikan pada PRU akan datang dimenangi oleh Pakatan Rakyat dan seterusnya mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat didalam negeri Selangor ini.

Pejabat Pentadbiran PAS DUN Semenyih ini terletak di No. 34-2, Jalan 5/12, Bandar Rinching (Seksyen 5), 43500 Semenyih, Selangor.

PAS DUN Semenyih ini atau lebih dikenali sebagai Majlis Tindakan DUN (MTD) Semenyih yang dipimpin oleh Sdr. Samsol B. Bahari selaku Pengarah dengan dibantu oleh beberapa ahlijawatankuasa yang terdiri dari ustaz, pemuda, muslimat, professional serta petugas-petugas `hard-core' akan melaksanakan amanah yang diberikan oleh PAS Kawasan Hulu Langat bagi memastikan kemenangan di DUN ini khususnya kemenangan Islam tertegak dibumi Semenyih ini. Insyaallah.

Kami berharap dengan wujudnya blog ini, kami amat berbesar hati jikalau ada sebarang cadangan untuk PAS DUN Semenyih atau artikel untuk dimuatkan didalam blog ini boleh dihantar ke email kami iaitu passemenyih@yahoo.com

Sebarang cadangan, komen atau apa-apa yang berkaitan kami dahului dengan ucapan ribuan terimakasih.

Sekian, salam perkenalan.

"USAHA HAK KITA, KEJAYAAN HAK ALLAH"