Rabu, September 30, 2009

Bagan Pinang : Dewan Pemuda sokong penuh dan kerja kuat



BAGAN PINANG, 30 Sept - Dewan Pemuda PAS Pusat menghadapi realiti pilihanraya kecil N.31 Bagan Pinang dengan semangat juang yang tinggi dan optimis untuk sekali lagi membawa pulang tropi kemenangan, ujar Ketuanya Ust Nasrudin Hassan Tantawi.

Katanya, cabaran kini agak sengit dengan adanya jumlah undi pos yang hampir mencecah angka 5000. Namun kesukaran dan cabaran yang semakin sengit menjadikan pemuda lebih proaktif dan progresif.

"Kami bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dan telah siap menggerakkan strategi mencongak kemenangan berganda di Bagan Pinang," tulis beliau dalam blognya, episodeperjuangan.blogspot.com.

Buat pertama kalinya Jentera Pilihanraya Pemuda PAS menubuhkan skuad khas untuk menangani undi pos yang diketuai oleh Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat.

"Pelbagai strategi dan taktikal telah diambil dan kita yakin Pakatan Rakyat mampu menang lagi dalam pilihanraya kecil kali ini," ujarnya.

Justeru itu, tanpa mengabaikan segala aktiviti dan agenda perjuangan yang telah ditetapkan, beliau berharap semua pemuda dapat memberikan komitmen tinggi dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi bagi mengulangi kecemerlangan yang telah dilakar PAS sebelum ini.

Menurutnya, kemenangan PAS mewakili Pakatan Rakyat kali ini adalah sangat penting untuk membetul arah laluan Pakatan Rakyat menuju garis destinasi sebagai sebuah Kerajaan Menanti. Namun beliau turut mengingatkan, supaya tidak 'over confident' lalu bertindak sambil lewa.

"Tanpa lupa doa dan munajat untuk mengundang Nusrah Allah swt agar kemenangan yang diperkaya dengan petunjuk Allah swt berjaya dirangkul," nasihat beliau lagi.

Sementara itu beliau berkata, kepada individu yang ingin menyambang bagi membiayai gerakkerja dakwah dan bahan-bahannya boleh disalurkan terus kepada Bendahari DPPP saudara Adram Musa [ 013 384 5555 ].

Beliau sebelum itu mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat ucapkan selamat berjuang dengan penuh taqwa dan memikul tanggungjawab dengan penuh dedikasi kepada Tuan Hj. Zulkefli Mohd Omar Pesuruhjaya PAS Negeri 9 yang diamanahkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: