Sabtu, September 19, 2009

Perutusan Eidulfitri 1430H

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Warga Muslim DUN Semenyih yang dikasihi,

Segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W

Maksud firman Allah S.W.T: "Kamu semua wahai orang mukmin diminta menyempurnakan bilangan puasa sebulan dan kamu juga diminta bertakbir kepada Allah (berhari raya) kerana Allah beri kamu hidayat." (Al-Baqarah:185)

Nabi S.A.W bersabda: "Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengurniakan 2 hari yang mempunyai kebaikan didalamnya iaitu hari Eidulfitri dan hari Eiduladha. (Riwayat Abu Daud)

Setelah kita berpuasa, bertarawih, berqiamullail, bersedekah, berzikir sepanjang bulan Ramadhan, Allah menyuruh kita bertakbir didalam kita menyambut hari raya. Takbir ialah sebutan `ALLAHU AKBAR' yang maknanya kita sebut dengan lidah sendiri bahawa `ALLAH MAHA BESAR'. Manakala yang lainnya ialah paling kecil yang mesti dipinggirkan bila bertembung dengan kehendak Allah S.W.T. Betulkah pengakuan Allahu Akbar yang selalu kita sebutkan didalam azan, solat dan laungan tertentu bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Agung atau hanya kita sebutkan dengan lidah sebagai satu tradisi sahaja?

Hari raya bukan tradisi ciptaan oarang melayu dan bukan juga tradisi ciptaan orang Arab tetapi ia adalah kehendak agama. Islam minta kita bersukaria, yang kita panggil berhari raya. Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut diatas landasan agama maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Bersempena Eidulfitri kali ini, marilah sama-sama kita menginsafi segala keterlanjuran kita dihadapan Allah dan saling merenung kesilapan kita sesama makhluk Allah. Eidulfitri ini bukan sekadar harus dipupuk semangat bermaafan sahaja malah bagi mereka yang mampu dianjurkan membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk sama-sama menyambut Eidulfitri dengan penuh kegembiraan. Namun harus diingat lebih dari itu, marilah kita bersama bersempena dengan Eidulfitri tahun ini kita menghidupkan kembali suasana Amar Makruf Nahi Mungkar dalam kehidupan masyarakat. Sesungguhnya adalah tanggungjawab dan amanah kita bersama untuk memperbetulkan segala kesilapan didalam masyarakat kita.

Mudah-mudahan kita dianugerahkan oleh Allah kesejahteraan dunia dan akhirat.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin...Taqaballahhu Minkum

ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR...WALILLAAHIL HAMD...

"ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN"

Daripada:

Pengarah & seluruh saf kepimpinan MTD Semenyih

Tiada ulasan: